Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas karya diturunkan, pelukis mahu Balai Seni Negara tamatkan pamerannya

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selepas empat karyanya diturunkan daripada pamerannya oleh pihak Balai Seni Negara (BSN), pelukis visual terkenal Ahmad Fuad Osman menuntut agar pameran solonya itu - yang dijadual berlangsung sehingga 28 Feb ini - ditamatkan secepat mungkin.

"Saya mengulang permintaan agar pameran itu ditamatkan segera, permintaan yang belum mendapat maklum balas," katanya di Instagram hari ini.

Ahmad Fuad juga menafikan pihak BSN ada berbincang dengannya sebelum menurunkan karya tersebut.

“Dalam kenyataannya, Balai (Seni Negara) menyatakan bahawa kami telah berbincang mengenai penurunan karya saya, dan membayangkan saya membenarkan (ia diturunkan).

“Ia tidak benar. Seperti yang dijelaskan dalam surat terbuka saya, saya dimaklumkan terlebih dahulu. Tetapi kurator undangan Shabbir Hussain Mustafa atau saya tidak pernah bertemu dengan (pihak) Balai untuk membincangkan perkara itu, dan saya tentunya tidak setuju dengan penurunan (karyanya)," katanya lagi.

Menyuarakan penghargaan terhadap BSN untuk koloberasi dengannya, Ahmad Fuad bagaimanapun berkata kerjasama sepatutnya terjalin atas dasar kepercayaan, rasa hormat, kesefahaman dan persetujuan.

Empat karya yang diturunkan berjudul Untitled 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating The Mountain 2004, dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.

Langkah itu dibuat ketika pameran At The End Of The Day, Even Art Is Not Important hanya berbaki kira-kira 19 hari saja lagi selepas ia dibuka sejak akhir Okt tahun lalu.

Pada 10 Februari, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad berkata berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana perjanjian pihaknya dengan pempamer, badan itu berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara.

“Pameran merupakan suatu proses dan ianya bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran. Proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita," kata Amerruddin.

Terdahulu, Ahmad Fuad berkata makluman rasmi kepadanya pada 21 Januari lalu adalah BSN menerima aduan daripada salah seorang anggota lembaganya.

Dalam kenyataan hari ini, dia membangkitkan kenyataan BSN bahawa badan itu juga menerima aduan daripada orang awam.

“Apa yang Balai katakan, kepada saya dan kepada orang ramai melalui kenyataannya, adalah mereka menurunkan karya saya berdasarkan aduan.

"Apa yang dipertaruhkan di sini ialah ketelusan dan kebertanggungjawaban. Pastinya Balai tidak akan secara automatik menurunkan karya apabila ia menerima aduan daripada mana-mana pihak," katanya.

Katanya lagi, BSN tidak menjelaskan proses yang dilalui sebelum karyanya diturunkan atau sama ada rungutan yang diterima memang memiliki merit sehingga menyebabkan langkah itu diambil.

“Apa maksudnya apabila muzium seni awam memutuskan untuk 'edit' kandungan pameran, selepas ia telah dibuka berbulan-bulan, tanpa mendapatkan kebenaran dan persetujuan pengkarya?" soalnya.

Dia juga mencadangkan agar BSN mengadakan siri forum dan rundingan awam untuk membincangkan isu tersebut secara terbuka, jika ingin kekal relevan dalam perbahasan sekitar seni.