Sajat tak tahu siapa perlu dirujuk selesai isu identiti
Usahawan kosmetik Nur Sajat mengaku dia tidak tahu siapa perlu dirujuk bagi menyelesaikan isu identitinya selepas tercetus kontroversi ketika mengerjakan umrah.
Justeru, kata Nur Sajat, dia sedia bertemu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar mudah diberi panduan yang jelas lagi terperinci berhubung isu terbabit.
“Bukan saya tak mahu buat laporan perubatan, sekarang mereka (Jakim) hanya suruh saya pergi ke hospital tanpa sebarang surat sokongan.
“Kalau betul mereka (Jakim) nak bantu, mereka sepatutnya keluarkan surat rasmi. Saya tak tahu dengan siapa yang saya perlu rujuk. Kalau hendak tolong, tolonglah betul-betul kalau tidak ia akan berpanjangan,” katanya dipetik BH Online.
Terdahulu, tindakan Nur Sajat memakai telekung ketika mengerjakan ibadah umrah dan berkongsi perkembangannya di Tanah Suci melalui media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Kontroversi terbabit menarik perhatian pelbagai pihak termasuk mufti malah mencetuskan kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia.
Namun, Nur Sajat mendakwa, sebelum ini dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identiti dirinya kepada pihak berkuasa, tetapi alasan diberikan adalah kesnya itu berprofil tinggi.
“Saya pernah kena tipu, bukan saya tak cari jalan penyelesaian. Kalau diikutkan, ibu bapa sudah memberi kerjasama sebaik mungkin sejak saya dilahirkan.
“Namun, sekarang, saya yang perlu menanggung semua ini sendirian,” katanya.
Katanya, dia berharap isu mengenai identitinya itu dapat diselesaikan dengan kadar segera selagi kedua orang tuanya masih hidup.
“Ibu bapa Sajat boleh mengesahkan siapa saya... Tiada orang lain,” katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan dia ditahan sewaktu berada di Tanah Suci, Nur Sajat berkata, ibadahnya berjalan lancar selain dia tidak didatangi mana-mana pihak berkuasa sepanjang tercetusnya kontroversi berkenaan.
“Di sana, saya sangat tenang menunaikan umrah bersama ibu, ayah dan anak-anak angkat. Malah, kehadiran saya disambut baik dan semua urusan ibadat dipermudahkan.
“Saya berniat untuk menunaikan umrah setiap tahun selain ingin membawa stokis dan kakitangan pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Sajat mengaku dia kesal dengan tindakan segelintir individu yang didakwa merakam imej dua anak angkatnya tanpa kebenaran dan kemudian dimuat naik di media sosial.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai