Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad Fuad: Isu turun karya saya belum selesai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seniman visual terkemuka, Ahmad Fuad Osman menjelaskan masalah penurunan karya lukisannya di Balai Seni Visual Negara masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menurut pelukis itu, pihak Balai Seni Visual Negara ada memberitahunya bahawa hanya tiga daripada empat karyanya yang telah diturunkan hendak dinaikkan semula.

Fuad berkata beliau tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Pihak Balai Seni Negara ada beritahu saya, hari ini mereka (pengurusan balai seni negara) akan jumpa menteri bincangkan soal ini.

“Mereka hendak naikkan hanya tiga karya dari empat yang ditapis sebelum ini tapi saya tak setuju. Jadi masalah belum selesai,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) pada 12 Feb lalu dilaporkan akan mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan cadangan memasang semula karya Ahmad Fuad Osman.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (gambar, atas), yang mengesahkan hal itu berkata, anggota LPSVN akan bertemu bagi membincangkan isu tersebut dan melihat kemungkinan untuk menaikkan semula empat karya Ahmad Fuad.

Terdahulu, sepucuk surat yang dikatakan ditulis ahli parlimen Balik Pulau kepada Pengerusi LPSVN, Rashidi Hasbullah, beredar di media sosial dan turut dikongsi arkitek landskap, Ng Sek San, di Facebooknya.

Antara lain surat itu menggesa LPSVN mempertimbangkan cadangan agar karya Ahmad Fuad kembali dipamerkan kepada umum berdasarkan beberapa faktor.

Salah satu sebab mengapa ia perlu dikembalikan, kata kandungan surat itu, ialah karya tersebut sudah melalui proses kelulusan yang ditetapkan, selain asas yang menjadi alasan ia ditarik daripada pameran adalah tidak jelas serta tidak konsisten dengan konteks pameran secara keseluruhan.

Sementara itu, Ahmad Fuad juga menjelaskan bahawa antara karyanya yang tidak mendapat persetujuan bagi dipamerkan semula adalah karya Imitating The Mountain.

Jelasnya antara sebab diberi pihak Balai Seni Negara adalah kerana lukisan tersebut dilihat lucah.

“Lucah, tetapi ada dua karya bogel lagi, kenapa lepas pulak? yang satu itu figura perempuan lagi,” katanya.

Lukisan Imitating The Mountain itu memperlihatkan sosok lelaki yang terbaring dan tidak berpakaian.

Pameran At The End Of The Day Art Is Not Important itu yang menyajikan karya Ahmad Fuad bermula pada hujung Okt tahun lalu dan dijangka berakhir 20 Feb ini.

Tindakan menurunkan empat karya Ahmad Fuad - tiga daripadanya merupakan lukisan menggambarkan tokoh politik - dibuat hanya kira-kira lima hari sebelum pameran itu tamat.

Tindakan tersebut mengundang kecaman dan kritikan pelbagai pihak, termasuk peminat seni serta ahli politik.

Empat karya yang diturunkan itu berjudul Untitle 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain 2004 dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.

Sebelum ini, Balai Seni Negara mengeluarkan kenyataan mendakwa, langkah mereka menurunkan empat karya berkenaan dibuat bagi mengelakkan ia disalah tafsir.

Malaysiakini sudah menghubungi Muhammad Bakhtiar dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad bagi mendapatkan komen namun mereka enggan mengulas berkenaan perkara tersebut.