Skip to main
Logo Malaysiakini

Aishah dan Vida kembali 'panas'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pergeseran antara hartawan kosmetik Hasmiza Othman dengan penyanyi Aishah sebelum ini yang tampaknya sudah sejuk kembali 'panas'.

Kedua-dua selebriti yang sering mengundang perhatian dalam dunia hiburan itu tiba-tiba kembali menghangatkan industri seni tanah air apabila mereka saling berbalas kenyataan di media sosial.

Terbaru, Hasmiza atau Vida menempelak Aishah apabila penyanyi itu menyindir isu ganti rugi berlian palsu yang pernah terjadi antara mereka suatu ketika dulu.

Hal itu berlaku ketika ahli perniagaan itu merancang untuk menyaman selebriti kontroversi Azwan Ali dalam satu sidang media baru-baru ini. 

“Aduhai kau nak apa lagi wahai hamba Allah. Kes dah tutup dah selesai. Apa yang kau nak semua aku dah bagi. Aku suruh kau pilih sendiri sampai kau puas hati.

“Ikut kehendak.. Macam mana yang kau nak. Berlian sebiji, sebiji tak pernah dibuat orang. Kalau orang lain la... aku rasa... kalau dah bagi pilih.. pilihlah perhiasan yang boleh pakai.

“Ni pilih berlian sebiji, sebiji, 1 karat. Ada tak tokey kedai berlian satu dunia ni bagi berlian butir? Sekali cincin suami aku bayar, aku turutkan saja janji kau puas hati, janji aku boleh berniaga dengan tenang dan semoga ada hikmah,” katanya di media sosial hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada kata-kata Aishah tidak lama dahulu yang mengaitkan isunya dengan cara mohon maaf Azwan atau Diva AA kepada Hasmiza.

“Begitulah sakitnya hati dan jiwa bila permintaan maaf diperlekehkan seperti dipermainkan , diperlekehkan, rasa terhina kan?... makan dalam kan?” katanya juga di media sosial.

Bagi menyelesaikan isu antara mereka berdua sebelum ini, Aishah menuntut lima barang kemas daripada Hasmiza.

Pengusaha produk itu kemudian menjelaskan tuntutan tersebut dengan membuat aksi seolah-olah ingin menelan barang kemas berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Camar Yang Hilang itu mengingatkan, kehilangan rakan-rakan seperjuangan secara mengejut dari arena seni tempatan buat selama-lamanya seharusnya dijadikan iktibar.

Kata Aisyah, sebelum dijemput ajal, carilah satu kesudahan yang bermanfaat.

“Ambil iktibar dari pemergian tiba-tiba rakan satu industri. Kita semua boleh pergi bila-bila masa. Allahu Akbar, marilah kita cari kesudahan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Hasmiza merungut di akaun Istagram miliknya bahawa dia meragui permohonan maaf daripada pengacara Azwan Ali yang didakwanya tidak ikhlas.

Azwan mengadakan sidang media sehari selepas Hasmiza memberi kata dua agar memohon maaf susulan video klip didakwa berbaur penghinaan tersebut.