Skip to main
Logo Malaysiakini

Emma tanya jika Zizan boleh hadir di hari bahagia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seakan mengesahkan khabar yang sedang bertiup, Zizan Razak memberitahu, Emma Maembong ada bertanya baru-baru ini jika dia sedia hadir di majlis perkahwinannya.

Kata Zizan, pertanyaan berkenaan diajukan bekas kekasihnya itu beberapa bulan yang lalu.

"Dia ada tanya saya begini: Kalau saya kahwin, awak nak datang tak?" katanya mengulangi kata-kata Emma.

Sekiranya khabar berkenaan benar, kata Zizan, dia mendoakan yang terbaik buat Emma, 27, dan pasangan yang menjadi pilihan pelakon siri TV Kerana Dia Manusia Biasa itu.

"Saya ucap tahniah kepada dia, pastikan pasangan itu adalah terbaik buatnya.

“Saya tidak kenal siapa bakal suami dia namun saya doakan kebahagiaan Emma dan pasangan,” katanya.

Zizan, 35, ditemui pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Bulan & Pria Terhebat di Damansara Utama semalam.

Selain Zizan, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi Zahirah MacWilson, Maya Karin, Alif Hadi, Sein Qudsi dan Bell Ngasri. Ia akan menjengah pawagam pada 12 Mac ini.

Penting dapat restu ibu bapa

Terdahulu, media melaporkan Emma - atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail - bakal bernikah dua hari lagi.

Berdasarkan tarikh yang dianggap 'cantik' iaitu 20-02-2020, kemungkinan tarikh itu menjadi pilihan ramai untuk diijabkabulkan, termasuk Emma.

Emma juga pada awalnya disebut-sebut bakal bersuamikan lelaki dari kerabat diraja.

 Bagaimanapun, Harian Metro melaporkan dakwaan tersebut tidak benar, sebaliknya lelaki berusia 32 tahun itu bekerja sebagai juruterbang di syarikat penerbangan swasta tempatan.

Pun begitu, Zizan tidak dapat mengesahkan bilakah tarikh sebenar Emma bakal mengakhiri zaman solonya.

 

Pada masa sama, kata Zizan, kehadiran dia di majlis persandingan itu juga bergantung mengikut kesesuaian jadualnya.

"Jemputan rasmi belum diterima. Dia cuma ada mengajak dan saya beritahu saya akan tengok jadual dulu," katanya.

Zizan juga menitipkan pesan buat Emma agar wanita itu mendapatkan jodoh yang direstui kedua ibu bapa.

Menurutnya, sesebuah perkahwinan bukan dibina berdasarkan soal kepentingan seseorang saja.

"Restu keluarga tu perlu dan penting. Jika dia nak berkahwin, tak naklah seandainya mak bapa dia tak suka pasangannya tu," katanya.