Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti mohon padam 7 Nasihat atau tindakan akan diambil

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi nombor 1 Malaysia, Siti Nurhaliza memohon agar segelintir pihak belajar untuk menghormati hak cipta dan karya insan seni.

Ini susulan teaser lagu terbarunya yang dilancarkan semalam, berjudul 7 Nasihat, dimuat naik beberapa individu di laman YouTube peribadi mereka.

“Dukacita sudah banyak yang memuat naik dan meletakkan di dalam Youtube masing-masing.

“Saya mohon agar anda hormati hak cipta dan karya insan seni,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Untuk rekod, lagu 7 Nasihat merupakan buah tangan terbaru Siti yang diciptakan bersama komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Sementara itu, penyanyi lagu Anta Permana itu turut memberitahu bahawa pihaknya, SNP dan Universal Music akan segera memantau perkara tersebut.

“Pihak Syarikat saya SNP dan Universal Music akan segera memantau hal ini.

“Saya mohon agar anda yang berbuat demikian dapat memadamkan video tersebut sebelum laporan dibuat untuk tindakan selanjutnya. Terima Kasih,” katanya lagi.

Mengikut semakan Malaysiakini, lagu itu menjadi tular sehingga carian #7Nasihat menjadi trending tangga keempat ciapan paling banyak.