Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagu protes Bunkface undang kritikan balas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Cubaan Bunkface untuk meraih respons positif melalui Akhir Zaman ketika negara berdepan kemelut politik gagal selepas single terbaru dilancarkan sejak semalam itu menerima kritikan tanpa henti di media sosial.

Segelintir pengguna alam maya menyifatkan Bunkface sebagai “badut” ekoran tampil dengan lagu sarat mesej kebencian antaranya homophobia bertujuan mengecam golongan LGBT pada waktu yang dianggap tidak bersesuaian.

Bagi netizen, Bunkface dianggap sekadar cuba meraih perhatian bahkan kumpulan terbabit tidak wajar berbuat demikian sekalipun mereka tidak menyukai LGBT.

“Ketika kita sedang bergelut dan rasa tak berdaya terhadap perubahan iklim politik, Bunkface fikir rakyat Malaysia (memang) perlukan sedikit mesej homofobia. Badut,” kata pengguna akaun @uu1iu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Bunkface berkaitan perkembangan itu.

Semalam, Bunkface melancarkan Akhir Zaman yang berkisahkan situasi semasa di Malaysia dan dunia secara global di saluran media sosial.

Petikan lirik seperti “LGBT boleh pergi mampus" dan “mana pergi duit rakyat” ditulis vokalisnya, Sam mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Bukan setakat itu, kumpulan didakwa acah-acah Punk itu turut dilabel seperti “sampah” kerana mengangkat tema anti-LGBT bagi menyampaikan mesej.

“Bunkface sumpah sampah gila kerana guna tema homofobia dan anti-liberal untuk lagu baru mereka. Tu bukan Punk Rock losers. Gi main jauh-jauh,” kata pengguna akaun @bulanberirama.

Sementara itu, pengguna akaun @fahadiman93 pula mempersoalkan tindakan Bunkface yang dianggap seperti menyimbah petrol dalam api selain boleh menyebabkan orang ramai berpecah-belah ekoran mesej mengandungi kecaman dalam lirik lagu mereka.

“Kepada Bunkface; dengan BS yang berlaku di seluruh dunia, perubahan iklim, pembunuhan saudara sesama Muslim di Gaza, China, India dan lain-lain tambahan pula dengan perubahan politik negara, kenapa kamu sebarkan kebencian dan tambah bara dalam api? serta cuba memecah-belahkan lagi manusia?” katanya.

Bagaimanapun, terdapat netizen tidak beranggapan tindakan Bunkface menyatakan protes dalam lirik lagu berkenaan sebagai salah.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada Bunkface atas keberanian dan pendirian kumpulan terbabit menyalurkan mesej..

“Lagu baru oleh Bunkface dengan judul Akhir Zaman hadir pada waktu sesuai. Ia menspekulasi berkenaan politik dan LGBT. (Walaupun) berisiko diharamkan, mereka tetap matang dan berani untuk memaparkan realiti,” kata pengguna akaun @aminasyrafmusa.

Seorang lagi pengguna akaun @ridzmanlee berkata, banyak pihak membenci lagu baru Bunkface, tetapi semua orang sebenarnya boleh saja meluahkan pandangan masing-masing.

“Bukankah kita dibenarkan untuk mempunyai pandangan sendiri,?” soalnya.