Skip to main
Logo Malaysiakini

Cintakan negara, Siti Sarah doakan yang terbaik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Krisis politik yang tercetus sejak "Langkah Sheraton" pada Ahad lalu diharap berakhir dengan manfaat kepada rakyat.

Penyanyi Siti Sarah berkata, siapa pun yang akan menjadi perdana menteri nanti perlu melaksanakan tugas yang baik sepanjang mengetuai tampuk pentadbiran kerajaan.

“Apa pun, Sarah doakan yang terbaik demi negara dan rakyat. Sarah sayangkan Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini dia berada di pintu masuk Istana Negara, Kuala Lumpur, tempat di mana petugas media 'berkampung' untuk membuat liputan perkembangan terkini situasi politik negara.

Kehadirannya bukanlah untuk menyampaikan satu dua lagu tetapi sebagai tanda sokongan dan membantu petugas media yang menjalankan tugas di bawah terik matahari.

Mencontohi sifat pemurah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pemilik nama penuh Siti Sarah Raisuddin itu juga terpanggil untuk membuat perkara sama.

“Apa Sarah beri ini sumbangan terlalu kecil. Sebelum ni terbayang bagaimanalah rakan-rakan media bekerja di tengah panas terik.

“Kalau Agong kita boleh buat, kenapa bukan saya. Justeru saya bawakan produk minuman Bubble Bee berasaskan madu untuk memberi tenaga kepada wartawan.

“Tujuan saya hanya untuk berterima kasih kepada rakan media sebab mereka bertungkus-lumus memastikan agar kita dapat berita terbaik,” kata penyanyi Kesetiaan itu.

Produk Siti Sarah yang dihasilkan secara bersama dengan suaminya, Shuib, antara sejumlah jenama syarikat korporat yang tampil menghulurkan sumbangan kepada petugas media hari ini.