Skip to main
Logo Malaysiakini

Che Ta enggan bolot rezeki pelakon veteran

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelakon Rozita Che Wan enggan wajahnya disolek menjadi tua bagi memenuhi tawaran untuk menjayakan watak wanita lebih berusia.

Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu, keenggannya itu hadir atas dasar keprihatinan selain demi menjaga hak dan kebajikan pelakon veteran.

"Kenapa nak kena mekap saya jadi tua? Kesian pelakon veteran.

"Habis, kalau saya terima juga tawaran sebegitu, pelakon veteran nak jadi apa? Takkan nak jadi hantu," katanya.

Rozita, 46, ditemui pada majlis pengumuman drama bersiri terbaru lakonannya, Family Spy di Kuala Lumpur hari ini.

Drama itu dijadual ditayangkan pada 11 Mac melalui saluran Astro Ceria dan Ceria HD.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hans Isaac, mengeluarkan kenyataan bahawa mulai Januari lalu, pelakon muda tidak lagi dibenarkan disolek menjadi watak orang tua.

Larangan tersebut dikuatkuasakan untuk setiap drama dan telefilem di semua stesen televisyen.

Mengulas lanjut, pelakon Kiah Pekasam itu, berkata, dia rela melepaskan watak tersebut yang selayaknya diberikan kepada pelakon veteran.

"Saya tak mahu sekat rezeki mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan wataknya sebagai nenek bernama Roz dalam Family Spy, Rozita berkata, dia menerima tawaran berkenaan disebabkan ia bersesuaian dengan usia dan imej yang dibawakannya.

Malahan, katanya, watak itu tidak memberikannya kekangan kerana Roz seorang bekas perisik hebat antarabangsa yang tangkas selain perlu menjalani banyak babak aksi dan pertarungan.

"Tak pernah penat macam ni bila masuk penggambaran. Bayangkan kena lakonkan babak aksi dari pagi hari ni hingga ke pagi esok," katanya.