Skip to main
Logo Malaysiakini

Mitos Melayu malas dan jembalang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Cuba kita buka dan baca semula cerpen Menjual Tanah Air tulisan Keris Mas, salah seorang sasterawan negara.

“Kita akan hancur luluh, bapak.

“Kerana tenaga dan kekuasaan harta benda dan kemegahan menghimpit keras di atas batu kepala kita, bukan saja sekarang, tetapi bapak tentulah banyak mengetahui sejak zaman-zaman yang telah lalu, nasib golongan besar rakyat jelata yang sengsara seperti kita ini senantiasa menjadi permainan segolongan kecil orang-orang yang berkuasa, yang besar dan yang katanya bertanggungjawab kepada keselamatan semua bangsa?”

Selepas terbentuknya kerajaan oleh rakyat melalui pilihanraya umum (PRU) ke-14 dua tahun dulu, ada beberapa ekor 'jembalang' dan 'hantu' yang benar-benar menggerunkan orang Melayu.

Ia merupakan beberapa kerat menteri berketurunan India dan menteri Sikh, selain 'terlalu ramai' Cina.

Maka bersegeralah pimpinan elit Melayu berhimpun dalam Kongres Maruah Melayu. Tak lain tak bukan - kononnya - untuk menyatukan kembali kekuatan Melayu daripada terus dilemahkan DAP yang bukan Melayu.

Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan stigma kemalasan yang Dr Mahathir Mohamad kaitkan dengan orang Melayu menjadi pelengkap kepada sekian banyak jembalang lain yang dicipta.

Maka Melayu mula 'jembalang' tersebut mula mengganas dan semakin berbahaya kerana ia mula mengeluarkan taring serta menunjukkan kuku.

Mahathir salah apabila mengaitkan malas dengan Melayu.

Melayu sebenarnya sudah maju. Melayu sudah ada yang menjadi penganalisis ekonomi, penganalisis politik, arkitek, saintis, doktor dan jurutera yang terkenal dan berilmu. Malah Melayu juga ada pengkritik dan pengarah filem, sasterawan, atlet, pelakon serta penyanyi yang bertaraf dunia.

Serapah halau jembalang

Andai benar malas itu penyakit Melayu, tentu kerajaan yang dipilih rakyat dalam PRU ke-14 lalu tidak runtuh dan masih kekal menjalankan kerja-kerja pentadbiran tanpa disabotaj atau diganggu.

Melayu itu memang tidak pernah kekurangan dari segi kerajinan mereka. Lihat saja kelaku para politikus Melayu yang ada. Ternyata sudah terbukti mereka memiliki sifat rajin yang luar biasa dan super.

Melayu itu tidak malas sebenarnya. Itulah sebabnya setelah pemimpin Melayu berjaya mencuri kuasa, mulut mereka pun manis berkata: “Cukuplah sudah kita semua berpolitik dan bertelagah sesama kita. Sekarang tiba masa untuk kita semua bekerja kerana keutamaan kita adalah kepentingan rakyat jelata.”

Melayu tidak pernah malas sebenarnya. Malahan selain tak pernah malas, Melayu itu juga warak dan kuat beragama.

Lihat bagaimana penganut fahaman politik Melayu Islam itu meraikan kata seorang pesuruhjaya parti yang membacakan nas yang entah di mana dia jumpa.

Kata dia: “Sesungguhnya kemenangan pembentukan kerajaan tanpa pilihan raya yang mereka diusahakan ini adalah anugerah dari Allah."

Jampi serapah, zikir dan tasbih sebegitulah yang sering dibaca pemimpin Melayu untuk menghalau 'jembalang' dan 'hantu' yang mereka sendiri cipta, kemudian dimomokkan sebagai bahaya dan celaka.

Ia sekali gus menghalalkan apa saja kerja politik licik mencuri kuasa dan jijik kecurangan serta derhaka yang diusahakan mereka dengan penuh rajin.

Cuba kita buka dan baca semula kitab-kitab hikayat Melayu yang ada. Banyak sekali kisah perbalahan dan pergelutan kuasa.

Kisah mahsyur penurunan takhta raja kepada anakanda kesayangan mereka sering mencetuskan konflik sehingga menyebabkan keadaan negeri jadi kacau dan tidak selesa.

Segalanya akibat sikap pemimpin dan pembesar Melayu yang rajin gila kuasa dan tamakkan jawatan. Mereka sangat rajin sehingga tidak pernah jemu mempergunakan rakyat.

Barangkali lebih baik Malaysia ini menjadi sebuah negara tanpa tuhan dan agama. Sementara rakyatnya pula hidup tanpa saling percaya pada apa-apa identiti bangsa dan agama. Begitu gamaknya?

Gagal jadi bangsa teliti

Dengan itu hidup rakyat boleh sejahtera dan bahagia tanpa kepercayaan bahawa adanya syurga untuk Melayu dan neraka untuk Cina. Tiada Melayu, India, Cina, Penan, Iban, Kadazan, atau Benggali yang apabila mati akan dikuburkan berasingan menurut agama apa yang mereka percaya.

Apa gunanya negara ini percaya kepada tuhan sekiranya mufti sudi jadi menteri agama kepada sebuah kerajaan yang mencurangi kepercayaan terhadap kesopanan dan kesusilaan pada rakyatnya sendiri?

Apa gunanya negara ini percaya kepada tuhan sebagaimana apa yang Rukun Negara ini rukunkan pada kita semua seandainya tatasusila, moral dan peradaban yang Islam ajarkan melalui nabi semudahnya hilang dalam masa dua jam penerangan; apabila ada cendekiawan Melayu muda mengalaskan tindakannya berasaskan fiqh tabayyun dan menyerahkan segalanya kepada Allah, kononnya? Walhal ia hanyalah perlakuan menjualkan nama tuhan dan memperdagangkan nama agama demi politik kuasa.

Mahathir salah. Orang Melayu itu tidak malas sebenarnya. Selain mencuri wang negara, Melayu malah sangat rajin berkomplot, merampas dan merebut-rebutkan kuasa. Hingga orang Melayu gagal menjadi bangsa yang teliti dan reti menilai apa yang baik, apa yang buruk, apa yang jahat dan apa yang celaka.

Lihatlah bagaimana sewenang-wenangnya pak lebai menukilkan hujah bahawa mengambil alih kuasa "ketika negara tidak dimiliki oleh mana-mana perdana menteri bukanlah dinamakan rampas kuasa.”

Malah apabila lebai yang sama menggelarkan sebahagian Cina warganegara ini sebagai tetamu yang lupa diri pun, Melayu Islam yang mengaku beriman dan beradab itu tidak langsung tersentuh jiwanya untuk berasa apa-apa.

Cuba kita buka dan baca cerpen Menjual Tanah Air tulisan Keris Mas itu semula. Tulis Arena Wati - seorang lagi sasterawan negara:

“Dulu saya pernah berkata di tengah-tengah masyarakat kampung kita akan perkara-perkara seperti ini, dan sekarang apa yang saya takut-takutkan itu telah datang untuk menamatkan riwayat kita. Kita akan hancur lebur dipijak-pijak, dijadikan tangga oleh beberapa orang saja dari dalam kalangan kita yang hendak naik lebih tinggi ke puncak hawa nafsu.

”Apa yang hendak kita buat sekarang semuanya telah menjadi gelap kepada saya, bapak, kerana keinsafan belum juga mahu masuk kepada hati sanubari orang-orang kita."

Politikus Melayu terus gembira dengan sikap orang Melayu yang tenggelam punca dalam kesopanan dan kesusilaan yang tuli serta buta.

Malah Rukun Negara hanyalah perhiasan buat politikus mengulang-ulang kembali membina percaya bahawa "saya adalah perdana menteri untuk semua".

Sedangkan modal mereka untuk merampas kuasa rakyat adalah jembalang ras dan hantu agama yang mereka cipta sendiri.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.