Skip to main
Logo Malaysiakini

Innuendo tak patah semangat tanpa Reymee

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kumpulan pop R&B yang terkenal dengan hits Belaian Jiwa sekitar 1990-an, Innuendo tidak patah semangat untuk merealisasikan konsert walaupun tanpa kehadiran penuh anggota mereka di Istana Budaya pada 10 April ini.

Kali terakhir membuat kemunculan bersama pada 2005, Innuendo berlapang dada apabila Konsert Innuendo - The Return terpaksa menampilkan tiga saja anggota kumpulan berkenaan.

Shamsul Azhar Nazeer atau Sam berkata, selain dirinya, dua anggota lagi yang akan bersama-sama menjayakan konsert itu adalah Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj) dan Saiful Amir Abdul Wahab (Pot).

“Sebenarnya kami ada mengajak seorang lagi anggota kumpulan ini iaitu Reymee.

“Namun dia membuat keputusan untuk tidak turut serta kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya sekarang,” katanya pada majlis pengumuman konsert tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, kata Sam, mereka bertiga menghormati keputusan Reymee walaupun setahun sudah cuba memujuknya untuk bersatu sebagai ahli kumpulan itu lagi.

“Kami menghormati keputusannya biarpun setahun kami cuba memujuknya. Apa pun, konsert ini akan tetap diteruskan oleh kami bertiga sahaja,” katanya.

Ditubuhkan sekitar tahun 1992, Innuendo juga sangat dikenali ramai melalui lagu-lagu seperti Gemawan, Ratu Hati dan Selamanya.

Untuk rekod, Belaian Jiwa lagu nyanyian asal oleh Carefree dirakam dan dinyanyikan semula oleh Innuendo pada 1979.

Lagu berkenaan juga berjaya memecah rekod Anugerah Industri Muzik ke-5 apabila membolot lima anugerah termasuk Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik pada 1998.

Mengulas mengenai konsert anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd itu, Sam berkata, Innuendo bakal mempersembahkan 26 lagu termasuk medley.

“Semasa konsert itu nanti juga kami akan mempersembahkan sebuah lagu istimewa yang telah dibuat remake semula iaitu lagu Kau Ilhamku,” jelasnya.