Skip to main
Logo Malaysiakini

Tom Hanks, isteri diuji positif Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bintang Hollywood terkenal Tom Hanks berkata dia dan isterinya Rita Wilson telah diuji positif Covid-19.

Dalam satu hantaran di media sosial, pelakon Forrest Gump dan Cast Away  berusia 63 tahun itu berkata pasangan itu berada di Australia dan mula berasa tidak sihat.

"Kami berasa agak letih, selsema, dan sakit-sakit badan. Rita mengalami rasa sejuk. Juga sedikit demam.

"Perkara yang sepatutnya dilakukan, sekarang ini seperti apa yang dilakukan di serata dunia, kami telah menjalani ujian coronavirus, dan didapati positif,” tulisnya dalam satu ciapan di Twitter.

Dia telah berkunjung ke Australia sejak 26 Jan untuk filem biografi Elvis Presley yang diarahkan oleh Baz Luhrmann.

Hanks menambah bahawa Rita yang juga 63, dan dirinya akan diasingkan dan dipantau sejajar dengan garis panduan kesihatan dan keselamatan awam.

Sehingga kini, hampir 123,000 orang telah dijangkiti di seluruh dunia, dengan majoritinya dari China, diikuti oleh Itali, Iran dan Korea Selatan. Lebih 4,500 kematian telah direkodkan.

Australia mencatatkan 112 kes dan tiga kematian, setakat ini.