Skip to main
Logo Malaysiakini

Sajat berang dituduh sebar Covid-19 lepas sentuh Kaabah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman berang apabila namanya seolah-olah dikaitkan dengan tindakan kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan visa pelancong bagi mengekang penularan Covid-19.

Muhammad Sajjad atau dikenali Nur Sajat itu berkata demikian sebagai membalas hantaran dibuat seorang individu bergelar ustaz yang mendakwa kaabah perlu dicuci selepas 'lelaki memakai telekung' menyentuh bangunan tersebut ketika melakukan umrah baru-baru ini.

Justeru, Muhammad Sajjad meminta bukti kukuh bahawa penyebaran Covid-19 berlaku selepas dia menyentuh bangunan suci tersebut.

“Rasa nak jumpa ustaz mengata aku. Rasanya lockdown (perintah berkurung) bukan kat Mekah je, seluruh dunia kena.

“Kau nak cakap aku fasal aku sentuh Kaabah, terus Mekah tak boleh masuk? Habis tu agensi yang menipu orang pergi umrah, tu bukan bencana ke?.

“Mana bukti kukuh daripada penganalisis dunia mengata Sajat pegang, terus tak boleh masuk Mekah? Jangan buat fitnah, tak baik tau, eee geramnya” katanya di Insta Story.

Bagaimanapun hantaran itu hilang selepas melebihi tempoh 24 jam.

Terdahulu, individu terbabit berkata, sekiranya Allah berkehendak menurunkan sesuatu musibah, ia pasti tidak akan mengira siapa.

“Perasan tak bila bala turun semua kena. Soleh or toleh. Sebab tu jangan biarkan benda mengundang bala berterusan. Kaabah kini dicuci selepas lelaki bertelekung menyentuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, individu berkenaan tidak menyebut nama sesiapa pada hantaran yang dimuat naik di Facebook itu.

Muhammad Sajjad pada Februari lalu mengundang kegusaran umat Islam negara ini apabila mengenakan pakaian wanita dan bertelekung sepanjang menunaikan umrah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Sajat sebagai mencemarkan imej Islam manakala Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tindakannya salah di sisi agama dan perlu dinasihati.

Bagaimanapun, seminggu selepas kontroversi itu, dia tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia melalui wawancara disiarkan di laman Facebook Aliff Syukri.

Pada masa sama, Muhammad Sajjad menegaskan, punca penularan Covid-19 bukan disebabkan dirinya sebaliknya wabak itu kemungkinan berlaku disebabkan tabiat memakan haiwan liar.

“Kes orang lain makan makanan haiwan buas seperti batman, ular, kucing, anjing, macam-macam lagi, tapi ustaz kata bala datang ni sebab aku aku pegang. Apa ni? CNN tak ada masuk pun pasal ni. Rumusan apa yang korang suka buat andaian ni,” katanya.

Mahu failkan saman terhadap Sajat

Sementara itu, melalui hantaran berbeza, ustaz terbabit memaklumkan dia bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas Muhammad Sajjad atas dakwaan menghinanya di laman sosial.

“Teguran saya ke atas Sajat sebelum ini adalah untuk kebaikan dirinya. Ketika saya menegur dan menasihati Sajat saya tidak mengeluarkan ucapan memburukkan dirinya

tetapi hanya nasihat yang baik agar dia berubah ke arah yang sepatutnya.

“Saya dengan ini ingin memaklumkan satu tindakan saman akan saya failkan ke atas Sajat dengan jumlah yang agak besar.

“Saya telah berbincang dengan beberapa barisan firma guaman saya antaranya peguam saya Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors untuk tindakan mahkamah ke atas Sajat sekiranya dia tidak memohon maaf kepada saya secara terbuka melalui tulisan dan video dalam tempoh 24 jam dari sekarang,” katanya.