Skip to main
Logo Malaysiakini

Oprah nafi kena tangkap sebab pemerdagangan seks

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Oprah Winfrey menafikan khabar angin dia ditangkap polis atas kesalahan pemerdagangan seks selepas berita palsu mengenainya muncul dalam talian.

Meskipun nama Oprah menjadi sohor kini di Twitter sejak spekulasi terbabit bertebaran, pengacara televisyen dan pelakon itu memberi jaminan kepada peminat bahawa sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku.

Katanya, dia ketika ini hanya duduk di rumah dan cuba menjauhkan diri daripada penularan pandemik Covid-19.

“Baru menerima panggilan telefon menyatakan nama saya sohor kini dan ditroll kerana berita palsu. Ia tidak betul.

“Tidak diserbu atau ditangkap. Hanya membersihkan diri dan menjarakkan diri daripada seluruh dunia. Kekal selamat semua orang,” ciapnya.

Terdahulu, muncul posting tidak sahih hingga mencetuskan spekulasi bahawa rumah Oprah di Boca Raton, Florida diserbu pihak berkuasa.

Spekulasi itu turut mengundang perhatian penerbit program bual bicara, Allen DeGeneres, Andy Lassner.

“Jumlah mengejutkan ramai orang yang mempercayai 100 peratus berita palsu mengenai Oprah membuat saya berasa tidak senang dengan perkembangan ni,” ciapnya.