Skip to main
Logo Malaysiakini

Maya promosi hidup sihat sambil bersedia jadi 'pontianak' lagi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejak arahan perdana menteri agar rakyat duduk di rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 pada Isnin lepas, pelbagai cara ditemui netizen untuk mereka menggunakan waktu yang terluang.

Ketika ramai yang berkerja dari rumah, memasak atau kerja lain, artis popular Maya Karin menjalani hari keempat perintah kawalan pergerakan dengan bersenam di balkoni rumahnya bersama peminatnya secara dalam talian.

Selebriti berusia 40 tahun itu menggunakan akaun Instagramnya untuk mengadakan siaran langsung sesi senaman itu buat kali kedua, selepas melakukannya Rabu lalu.

Sesi siaran langsung setengah jam itu telah diikuti 223 penonton dan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat pada waktu sukar ini.

Ia juga membuktikan selebriti kelahiran Jerman-Malaysia itu, mempunyai ketahanan untuk terus melakukan aturan latihan biasa beliau.

Maya memulakan sesi tersebut dengan sesi memaskan badan dengan joging singkat, diikuti senaman termasuklah lompat bintang, tekan tubi, lari setempat, planking dan burpees.

Maya juga menjawab soalan daripada peminatnya yang mengikut sesi siaran langsung itu.

“Lakukannya perlahan-lahan, asalkan anda boleh rasakannya,” jawab beliau kepada penontonnya, terutamanya kepada komen @Farhanabylah: "hahaha…. masih 15 saat" dan @Farisharudin: "semput".

Tak boleh lawan mak

Kebanyakan penonton kagum dengan kekuatan fizikal Maya dan memuji usahanya memberikan idea kepada pengikut Instagram untuk menjalani masa lapang dengan baik di rumah.

“Idea terbaik untuk aktiviti berkurung,” kata @BangZuki.

@_zeeraraz pula berkata: “Rajin betul kak Maya bersenam... jaga kesihatan”, manakala @_msblack90 commented: “All the way kak Maya.”

Ketika melakukan planking selama satu minit, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu dengan bangganya menyatakan bahawa ibunya - berusia 64 tahun - mempunyai kekuatan untuk melakukan cabaran tersebut selama 60 saat.

“Saya tidak boleh lawan kekuatan mak saya… keutamaan keluarga saya ialah amalan kesihatan… bapa saya masih mendaki gunung,” katanya.

Maya turut mengalakkan penonton untuk memuat naik video senaman masing-masing dengan meletakkan tanda (tag) kepada akaun Instagram rasminya.

Sementara itu Maya mendedahkan yang dia akan kembali berlakon dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam ketiga, tidak lama lagi.

“Sebagai pontianak, saya perlu melompat dari satu pokok ke satu pokok yang lain dan lakukannya dengan betul, sebab itulah penting bagi saya untuk kekal cergas, bagi menghidupkan watak tersebut,” katanya di akhir sesi siaran langsungnya.

- Bernama