Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas Covid-19 'kalah' Amy janji hiburkan petugas HSB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keringat dan pengorbanan anggota petugas barisan hadapan yang bergelut untuk membendung penularan wabak Covid-19 turut mendapat sokongan padu daripada golongan selebriti.

Vokalis kumpulan Search, Amy, misalnya semalam tampil menghulurkan sumbangan berupa makanan dan minuman petang untuk pasukan perubatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Alhamduluillah, sedikit minuman petang untuk barisan hadapan kita yang bertungkus-lumus memastikan keadaan pesakit-pesakit #covid19 (agar mereka) dapat merawat dengan tenang.

"Terima kasih Dr Shantini dan unit korporat komunikasi Covid-19," tulisnya di media sosial.

Kehadiran Amy dan isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish, ke HSB adalah untuk menyumbangkan sekurang-kurang 200 pek nasi lemak, bihun serta kuih-muih.

Pasangan itu turut menghulurkan pek minuman segera produk jenama keluaran mereka, Phewiiit Coffee Malaysia.

Amy kemudian berjanji sekiranya segala urusan menangani Covid-19 selesai, dia akan datang semula ke HSB untuk menghiburkan kakitangan di situ.

Datang main redah saja

"Insya-Allah kasi settel semua, abang datang nyanyi kat sini OK. Semoga Allah melindungi kita semua. Amin.

"Korang (kamu semua) nikmatilah bersama OK. Kalau boleh nak juga aku makan bersama-sama korang," katanya.

Sementara itu, Amy ketika dihubungi Malaysiakini berkata, kehadirannya di HSB memang tidak dimaklumkan kepada mana-mana pihak pengurusan terlebih dahulu.

Katanya, tindakannya datang untuk menghulurkan makanan dan minuman petang itu dilakukan secara "main redah" saja.

"Saya tak ada hubungi sesiapa nak maklumkan kami nak datang terlebih dahulu. Memang main redah.

"Sampai sana, saya dan isteri bertemu pengawal dan mereka arahkan untuk bagi makanan dari luar pintu masuk saja," katanya.

Ditanya sama ada dia bimbang atau tidak untuk mendekati hospital yang kini mengendalikan pesakit Covid-19, Amy menjawab dia datang dengan persediaan yang rapi, dan selebihnya tawakal.

"Saya datang dengan penutup hidung dan mulut, pakai sarung tangan dan pastikan bawa hand sanitizer ke mana-mana. Memang kena disiplin pasal perkara macam ni.

"Memang kalau takdirnya nak kena tu, kena juga, tapi sekurang-kurangnya saya dah ikut saranan kerajaan untuk pastikan diri sentiasa dijauhkan daripada penyakit berkenaan," katanya.