Skip to main
Logo Malaysiakini

PTVM buka Tabung Bantuan Covid-19 untuk pemain industri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Prihatin nasib menimpa pekerja industri dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mewujudkan tabung bagi mengutip sumbangan daripada syarikat-syarikat penerbitan tempatan.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berkata, apabila kerajaan mengeluarkan arahan untuk akur PKP, tiada lagi syarikat penerbitan yang menjalankan penggambaran.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan mereka yang kebanyakannya bekerja secara kontrak (freelance), hilang punca pendapatan bagi menyara diri sendiri dan keluarga.

"Justeru, saya berharap Tabung Bantuan Covid-19 Untuk Penggiat Seni ni dapat membantu mereka yang sangat memerlukan bantuan akibat hilang mata pencarian.

"Ia terutama kepada kru berpendapatan kecil kerana bila ada kerja, adalah gaji," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Jurey, pada peringkat awal, tabung berkenaan - yang dilancarkan bermula hari ini - akan disalurkan kepada mereka yang terbabit dalam industri sebagai kru penggambaran saja.

"Mula-mula kepada kru penggambaran, kemudian pengarah dan seterusnya bergantung kepada berapa jumlah berjaya dikutip," katanya.

Pun begitu, Jurey berkata, bantuan tersebut hanya bersifat sementara iaitu ia hanya akan dilaksanakan sewaktu tempoh PKP sedang berlangsung.

"Kesan PKP akan ambil masa untuk pulih. Akibatnya, kerja-kerja penggambaran juga perlu disusun semula. Dan selepas 30 Mac ni baru kita tahu sama ada tabung ni akan diteruskan atau pun tidak," katanya.

Untuk rekod, usaha mengutip duit untuk Tabung Bantuan Covid-19 Untuk Penggiat Seni akan dijalankan dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Pengarah Filem Malaysia dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia.

Sehubungan itu, kata Jurey, PTVM menyeru syarikat-syarikat penerbitan yang mengambil berat antara satu sama lain untuk membantu menyalurkan sumbangan.

"Bantuan boleh disumbangkan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan keperluan, untuk itu, sila hubungi talian 03-41499466 atau puan Amy di nombor 016-212 8579.

"Diharap sedikit usaha daripada Ahli Jawatankuasa PTVM dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penggiat seni dalam waktu sukar ni.

"Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Amin," katanya.