Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan pembelian panik, belanja rumah Nikita lebih RM3,000 sebulan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Aktres kontroversi Indonesia, Nikita Mirzani menafikan dirinya melakukan pembelian panik apabila menghabiskan kira-kira Rp13 juta (RM3464.50) untuk berbelanja di sebuah pasar raya.

Nikita merakamkan pembelian tersebut untuk vlognya di laman Youtube miliknya - Crazy Nikmir Real pada 27 Mac (waktu tempatan).

“Jangan salah faham, ini bukan pembelian panik. Ini rutin yang selalu saya buat. Belanjanya memang begini,” jelas Nikita.

Rakaman vlog tersebut menunjukkan Nikita telah memuatkan sehingga empat troli dengan barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan keperluan lain.

Tahun lalu, Nikita pernah meluahkan rasa tidak puas hatinya selepas melihat jumlah bil elektriknya mencecah hingga Rp26 juta (RM7,000).

Dia membuat aduan rasmi kepada Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia kerana beranggapan ia tidak masuk akal.

Nikita turut menjelaskan kebiasaannya jumlah bil elektrik beliau adalah Rp4 juta (RM1,000) atau Rp5 juta (RM2,000) yang paling banyak.

Sementara itu, Nikita berkata alasan berbelanja sebanyak itu adalah kerana dia malas untuk keluar berbelanja sekali lagi.

“Saya lebih senang duduk di rumah. Seminggu ini memang kena duduk di rumah.

“Kalau di rumah sahaja, mengapa nak keluar lagi? Baik beli banyak sahaja,” katanya lagi.

Setakat ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo hanya menjalankan perintah penjarakkan sosial sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini.

Namun, kawasan Jawa Tengah telahpun melaksanakan perintah berkurung selama empat bulan bermula 24 Mac susulan kes positif pertama dikesan membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Abu Dhabi dan Jakarta.

Setakat ini, jumlah pesakit positif Covid-19 di Indonesia seramai 1155 orang dengan 59 orang sudah pulih dan 102 jumlah kematian dicatatkan.