Skip to main
Logo Malaysiakini

Stacy bakal hiburkan peminat dari rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi Stacy dijangka menghiburkan rakyat negara ini sebentar lagi melalui konsert #WondaDiRumah, konsert dari rumah yang diadakan buat julung kalinya sempena tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Konsert dijangka bermula jam 6.30 petang ini diadakan bertujuan memastikan warga Malaysia kekal terhibur yang akan membuat persembahan dari rumah mereka sendiri melalui siaran langsung.

Konsert dari rumah yang unik ini pertama kali diperkenalkan di Malaysia, berbekalkan hasrat untuk menghiburkan orang ramai sepanjang tujuh hari sewaktu berkuatkuasanya PKP.

Melalui kenyataan diedarkan, Kopi Wonda menggalakkan orang ramai untuk tinggal di rumah, kekal terhibur dan yang paling penting sekali, mengutamakan keselamatan.

Untuk rekod, selain Stacy, Konsert #WondaDiRumah juga menampilkan barisan artis berlainan setiap hari sejak ia bermula 25 Mac lalu.

Berbaki lagi dua hari, artis terakhir dijangka membuat persembahan adalah Noh Salleh.

"Konsert #WondaDiRumah bakal menampilkan artis-artis Malaysia yang berlainan pada setiap hari, dan setiap sesi konsert ini akan berlangsung selama 30 minit di Astro Ria atau ERA IG TV pada jam 6:30 petang mulai 25 Mac hingga 31 Mac 2020.

"Barisan artis-artis yang hangat lagi berbakat akan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka, dan mereka terdiri daripada Aizat Amdan, Noh Salleh, Syamel, Zizi Kirana, Haqiem Rusli, Akim dan Stacy.

“Kami menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang disumbangkan oleh semua pihak, termasuk Astro, para artis dan rakan kongsi, untuk merealisasikan Konsert #WondaDiRumah dalam masa yang singkat.

"Sementara kita cuba mengharungi kemelut semasa, kami percaya kami memiliki tanggungjawab untuk meneroka kaedah baharu yang berupaya untuk menggalakkan orang ramai tinggal di rumah sambil membekalkan mereka hiburan dan cuba melalui detik ini dengan sikap yang optimistik,” ujar Santharuban T. Sundaram, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif di Etika.