Covid-19: Inilah syair kami dendangkan...
Inilah syair kami dendangkan,
Mengajak waspada tuan dan puan,
Dalam menghadapi getir ujian,
Wabak melanda mari jauhkan.
Itu antara bait lirik Syair Lambaian Kemanusiaan: COVID-19 dendangan penuh penghayatan oleh Pendendang Syair Nusantara yang menggabungkan penyair dari empat negara diketuai Maestro Syair Nusantara, Roslan Madun.
Roslan, 68, yang juga pengarang syair itu berkata dendangan syair berkenaan melibatkan 12 penyair daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Beliau berkata idea untuk menghasilkan syair berkaitan COVID-19 muncul selepas melihat wabak berjangkit itu melanda dunia sehingga mencetus rasa takut dalam kalangan masyarakat, namun masih terdapat segelintir golongan yang tidak peka mengenainya.
"Dari situ saya berfikir mungkin boleh menggunakan pendekatan bersyair untuk menyumbang dari aspek motivasi kepada masyarakat supaya mereka peka dan memainkan peranan dalam membantu negara masing-masing memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Atas dasar itu, Roslan berkata syair enam rangkap yang dilagukan mengikut alunan irama syair Sarawak berjaya dihasilkan, malah turut menekankan keperluan orang ramai mematuhi perintah pihak berkuasa dan kerajaan.
"Syair ini juga mengingatkan kita supaya sentiasa berdoa dan bertawakal kepada-Nya sepanjang menghadapi dugaan ini, selari dengan prinsip syair yang sebenarnya bertujuan mengajak pendengar berbuat baik serta bermunajat kepada Allah SWT,” katanya.
Tambah Roslan, selain dimuat naik di platform media sosial Facebook dan YouTube, mereka juga berbangga kerana hasil video itu digunakan stesen televisyen Kepri.TV yang berpangkalan di Indonesia sebagai video pesanan khidmat masyarakat kepada penduduk di sana.
Mengulas mengenai penghasilan projek video Syair Lambaian Kemanusiaan : COVID-19 di saat penularan wabak dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan, Rosli berkata segala-galanya hanya dilakukan secara dalam talian.
"Kami berhubung dan berbincang menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram dan e-mail, antara cabaran utama ialah capaian internet terhad buat rakan-rakan kami di pelbagai lokasi di negara yang terlibat," katanya.
Teks penuh Syair Lambaian Kemanusiaan: COVID-19:
Inilah syair kami dendangkan
Mengajak waspada tuan dan puan
Dalam menghadapi getir ujian
Wabak melanda mari jauhkan
Lupakan saja beza pendapat
Berbaik sangka hidup selamat
Wabak ini sama disekat
Bersatu hati capai matlamat
Virus corona datang menyerang
Ke tubuh manusia ia bersarang
Banyak sudah nyawa melayang
Semua orang berhati walang
Wabak ini sangat ditakuti
Bahaya sungguh tidak terperi
Vaksinnya belum dapat dicari
Kalau berjangkit sukar diubati
Marilah kita bekerjasama
Segala perintah patuh terima
Keselamatan sejagat diberi utama
Tiadalah siapa akan merana
Cekalkan hati usah mengalah
Banyakkan zikir ribuan jumlah
Yakinlah sungguh kepada Allah
Doa dimakbul insya-Allah
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai