Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19 dan seni mempolitikkan ketakutan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Ada sebuah filem yang kalian semua harus tonton sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang. Judulnya The Lobster yang diterbitkan pada 2015.

Tuan-tuan, kita sedang hidup dalam dunia yang penuh kelam dan ketidaktentuan. Di AS, Donald Trump masih mempertahankan keegoannya di sebalik ketakutan yang disuarakan media, pesaing politik, ilmuan dan seluruh komuniti pengamal perubatan.

Trump terus menafikan keserabutan realiti dibawa virus Korona dan kenyataan perit yang sedang dihadapi kebanyakan hospital di AS.

New York yang selama ini dipercayai memiliki rangkaian sistem keselamatan dan kelengkapan kesihatan yang termaju di dunia, sedang bergelut melawan serangan-serangan maut Covid-19.

Hospital-hospital di AS ibarat zon perang yang dibanjiri pesakit terdesak untuk diselamatkan ketika kelengkapan bantuan - seperti alat pernafasan serta kelengkapan pelindung diri (PPE) - tidak mencukupi.

Situasi sama turut dirasai oleh Boris Johnson di Britain. Dia yang kini hanya menjalankan kerja-kerja pentadbiran dari rumah - setelah positif Covid-19 - juga tidak dapat mengelak kritikan media dan orang ramai.

Johnson sekarang disifatkan sebagai “The Invisible Man” kerana tidak muncul-muncul bagi menjawab segala kekusutan dan kekalutan dihadapi rakyat. Dia juga dikritik sebagai seorang perdana menteri yang tidak berkemampuan mengendalikan krisis seserius virus korona yang sedang gila menyerang.

Pada saat ini, seluruh rakyat menginginkan pemimpin kerajaan telus supaya maklumat disalurkan secara cekap dan benar, bukannya mempolitikkan krisis ini dengan segala macam permainan kepartian.

Elak sengsara ekonomi

Rakyat ketakutan. Kemelult yang ada sudah memadai dan rakyat tidak perlukan masalah tambahan termasuk kedegilan dan kesombongan pemimpin.

Trump memberikan itu kepada rakyat AS dengan "merepublikkan" keputusan yang dibuat sambil menyalahkan pihak Demokrat yang menjadi musuhnya.

Pada masa sama alah menjadi seorang perdana menteri halimunan dalam keadaan gusar dan sukar sekarang juga tentu bukan suatu pilihan yang dimahukan mana-mana rakyat.

Di sini, rakyat memerlukan pemakluman yang jelas serta jaminan keselamatan daripada pimpinan. Kita perlu diyakinkan bahawa kita boleh diselamatkan daripada Covid-19, selain dapat mengelakkan sengsara ekonomi selepas PKP ditamatkan.

Itali dan Sepanyol masih dalam kepanikan. Bandar-bandar di Afrika Selatan dan India yang berpopulasi padat mula ditutup. Jepun resah untuk berhadapan kerugian besar selepas membelanjakan AS$12 bilion hanya untuk persiapan mengadakan sukan Olimpik. Ia sudah ditangguhkan ke tarikh yang lain.

Riyadh pula menutup dua kota suci Islam demi keselamatan. Masjid dan surau kita seluruh negara ditutup pada sepanjang tempoh PKP.

Virus Korona juga bakal membawa pandemik ekonomi yang sangat meresahkan. Kerajaan setiap negara segera merangka lalu mengumumkan pelaksanaan pelan rangsangan bagi menyelamatkan orang ramai.

Tekanan juga tentulah dirasai dalam sektor seni dan budaya yang selama ini memang tidak dilindungi malah tidak pernah dipedulikan.

Nampak sedikit berlebihan

Di sinilah tiba-tiba nama Mak Cik Kiah muncul. Kemudian menyusul pula muka-muka ahli parlimen yang ditempekkan pada beras bantuan untuk rakyat.

Wajah ahli politik kini menjadi sebahagian daripada pakej rangsangan kerajaan.

Virus mempolitikkan pandemik ini bukanlah hal baru. Sebelum Malaysia Baru pun sudah ada. Justeru tidak memeranjatkan langsung apabila ada orang menunggang "fiqh tabayyun" untuk menghalalkan langkah mereka menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat.

Virus mempolitikkan "fiqh tabayyun" itu sedang diangkat pada label politik yang lebih keji apabila orang menyandarkan langkahnya kepada nama Sayidina Ali Abi Talib dan Muawiyah untuk membezakan dia dengan kumpulan pengkritik yang digelarkan Khawarij.

Pada sisi lain keresahan beberapa artis Malaysia dipolitikkan. Ia bukan soal artis kemarukkan subsidi kerajaan, atau berapa ramai selebriti miskin dan berapa ramai artis kaya.

Hal pokok dalam polemik ini ialah tujuh tuntutan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kepada kerajaan yang dilihat kebanyakan orang sebagai sedikit berlebihan.

Semua orang akur bahawa krisis yang berlaku kini memberi kesan kepada seluruh rakyat, sama ada kalangan isi rumah B40, M40 mahupun T20.

Virus mempolitikkan Covid-19 adalah realiti dan kebenaran yang pernah ditunjukkan secara terang-terangan dalam filem The Lobster arahan Yorgos Lanthimos.

Keadaan distopia yang ditunjukkan dalam The Lobster adalah hasil masyarakat yang lahir daripada keresahan, kepanikan dan ketakutan.

Pemikiran, moral dan kelakuan watak-watak yang hidup dalam The Lobster terbit daripada virus mempolitikkan kekurangan dan kemurungan rakyat selepas diracuni doktrin jahat.

Apa yang dipasakkan ialah kepercayaan politik yang dikutip daripada agama untuk dijadikan pegangan yang langsung tidak boleh dipertikaikan walau sekarut mana pun ia.

The Lobster adalah sebuah filem cinta agung yang diperagakan dalam situasi romantisisme pelik. Ia dapat kita fahami setelah melihat sekian banyak keindahan dunia ini hancur.

Segalanya berlaku kerana terlalu banyak makna pada cinta dalam hidup berkeluarga dan - pada satu sisi lain - pemegang kuasa mempolitikkan ketakutan manusia.

Tuan-tuan, kita sedang hidup dalam dunia yang kelam dan penuh dengan ketidaktentuan.

Di AS, Trump membaca doa di gereja untuk meminta Tuhan menolak Koronavirus. Ia perbuatan yang tidak salah tetapi ia juga tidak melambangkan keimanan sebenar Trump.

Ia juga tidak membuktikan Trump seorang presiden yang baik. Di Malaysia, bagaimana agaknya?


HARIS HAUZAH ialah lelaki romantis bekas pemuja bulan, tidak mempercayai bunga dan sering jatuh cinta namun percaya dia tak semestinya memiliki.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.