Skip to main
Logo Malaysiakini

Ali XPDC melecur disambar api ketika bakar sampah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Vokalis kumpulan rock XPDC, Ali melecur di tangan, kaki dan muka sebanyak 30 peratus semasa membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang baru-baru ini.

Luah Ali, ubat adalah perkara paling diperlukan bagi memulihkan kulitnya terutama bahagian muka yang menggelupas teruk ketika ini.

“Saya kena gunakan krim yang cepat bertindak untuk memulihkan luka dan menghilangkan parut.

“Saya amat berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak dapat sumbangkan ubat atau beri petua untuk tujuan ini. Saya juga masih mengalami kesakitan di kedua-dua belah tangan," katanya dipetik Harian Metro.

Menceritakan detik-detik kejadian, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail berkata, api sepantas kilat menyambar anggota badannya sebaik dia menggunakan petrol untuk membakar sampah tersebut.

“Api cepat menyambar tangan dan muka saya. Letupan kuat ketika itu turut mengejutkan isteri dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, selepas insiden itu, dia dibawa ke klinik tetapi kemudian disarankan untuk segera ke hospital kerana tahap kecederaan yang dialaminya.

Penderitaan Ali, 52, mendapat perhatian (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang hadir menyerahkan bantuan bagi meringankan bebannya, semalam.

Selain itu, Daroyah juga akan membantu Ali mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menampung perbelanjaan mendapatkan rawatan selain kehilangan pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Usaha itu turut disertai Konsortium Irama dan Muzikal Malaysia (Irama) yang mewujudkan Tabung Kecemasan Kemalangan Penggiat Seni Muzik.

Mengulas lanjut, Ali berkata, semakin banyak pihak mula menghubunginya bagi bertanyakan khabar sebaik mengetahui perkara berkenaan.

“Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu dan terus menghubungi saya untuk mendapatkan cerita lengkap.

“Dalam situasi sekarang, mereka amat bersimpati dan cuba membantu sedaya yang mampu," kata bapa kepada lima anak ini.

Terdahulu, ada pihak mendakwa Ali dimasukkan ke hospital kerana positif wabak Covid-19 selepas menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Ali.

“Saya tak menghadiri perhimpunan tu kerana sedang menunaikan umrah,” katanya.