Skip to main
Logo Malaysiakini

Disahkan negatif Covid-19, Nizam seru jangan tinggal solat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi Nizam Laksamana memanjatkan kesyukuran apabila dirinya, isteri dan dua anak perempuan yang menjalani ujian saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19 disahkan negatif wabak itu semalam.

Kata Nizam, 53, hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaannya sebelum ini apabila terpaksa menunggu sekurang-kurang tujuh hari untuk menerima keputusan tersebut.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Nizam Pechok itu, hatinya tidak keruan apabila memikirkan soal nyawa orang-orang yang tersayang.

“Debarnya tak kira waktu. Bangun tidur asyik terfikir apa la agaknya keputusan yang bakal diterima kerana ni soal nyawa orang-orang yang kita sayang.

“Sebab empat anggota keluarga saya kena buat saringan. Pada masa sama, saya juga takut menjadi penyebab anak-anak dan isteri terkena wabak ni,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Justeru, penyanyi Gugurnya Bunga Cinta itu menyeru orang ramai agar mendekatkan diri kepada Tuhan dengan memperbanyakkan doa agar wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Yang paling penting solatlah, dekatkan diri kepada Pencipta dan berdoa moga wabak ini hapus segera kerana tidak semua mampu bertahan dengan tiada punca makanan iaitu kerja,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Nizam memaklumkan, dia dan isteri, Salwati Zulkifli, 45, serta dua anaknya iaitu, Nur Ellis Adeeba, 20, dan Nur Ellisa Adeera, 15, perlu menjalani  saringan Covid-19 ekoran mempunyai kontak rapat dengan bapa mentuanya sewaktu mereka pulang ke kampung di Rembau, Negeri Sembilan.

Zulkifli Ibrahim, disahkan positif Covid-19 pada hari sebelumnya selepas mempunyai kontak rapat dengan imam di surau kampung berkenaan.

Imam tersebut pula merupakan kontak rapat dengan salah seorang jemaah yang mengikuti perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, Nizam berkata, dua lagi anak lelakinya iaitu Muhammad Aniq Adam, 23, dan Muhammad Ali Saifuddeen, 22, tidak perlu membuat ujian saringan kesihatan tersebut kerana mereka tidak ikut serta pulang ke kampung.

Untuk rekod, Zulkifli dan ibu mentua, Ramlah Husin sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban selepas disahkan negatif wabak tersebut semalam.

Pada masa sama, Nizam menyeru orang ramai agar tidak mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan tempohnya dari 18 Mac lalu hingga 14 April ini bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Jangan ingkar arahan kerajaan untuk sama-sama duduk di rumah kerana hanya dengan cara tu kita boleh putuskan rantaian wabak.

“Kalau kita masih berdegil dengan keluar tanpa ada keperluan, bermakna kita cuba hidupkan wabak dan tidak peka dengan kesihatan mahupun keselamatan orang lain.

“Bermakna kita bersekongkol dengan wabak Covid-19,” katanya.