Skip to main
Logo Malaysiakini

J.Lo terpaksa tangguh perkahwinan ke-4 ekoran pandemik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bintang AS Jennifer Lopez mengaku kehidupannya turut terjejas disebabkan wabak pandemik Covid-19.

Kata penyanyi dan pelakon itu, majlis perkahwinannya dengan tunangnya, Alex Rodriguez terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu dan akan dirancang semula jika keadaan mengizinkan.

“Sebenarnya, terjejas juga sedikit. Justeru, kami akan lihat apa yang bakal terjadi sekarang. Sejujurnya, saya tak tahu apa seterusnya untuk penetapan tarikh atau apa saja berkaitan.

“Kami juga terpaksa menangguhkan agenda sama seperti yang dilakukan orang lain di seluruh dunia. Mungkin kami perlu menangguhkannya hingga ke beberapa bulan akan datang,” katanya dipetik Hapersbazaar.

Untuk rekod, ini adalah kali kelima Jennifer mengikat tali pertunangan dengan seseorang. Dia dan bekas pemain besbol profesional itu mula berpacaran pada 2017.

Jennifer atau lebih dikenali sebagai J.Lo sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Ojani Noa pada 1997, namun perkahwinan itu hanya bertahan selama setahun.

Penyanyi Love Don’t Cost A Thing tersebut kemudian berkahwin dengan penari tambahannya, Chris Judd pada 2001. Perkahwinan tersebut bertahan kurang dari setahun.

Jennifer kemudian bertunang dengan pelakon Ben Affleck pada 2002 tetapi berpisah beberapa hari sebelum tarikh mereka melangsungkan perkahwinan.

Pada 2004, Jennifer sekali lagi mendirikan rumah tangga, kali ini dengan penyanyi Marc Anthony, pasangan itu dikurniakan dua anak kembar pada 2008. Mereka mengumumkan berpisah secara rasmi pada tiga tahun selepas itu.

Sementara itu, Jennifer memaklumkan, dia akan terus bekerja dari rumah ketika menjalani tempoh kuarantin.

Katanya, sekiranya seseorang itu masih sihat dan berada di rumah ketika ini, individu tersebut sepatutnya bersyukur kerana ia adalah satu titik pemulaan untuk kebanyakan orang.

"Sejujurnya, bagi saya, bekerja dari rumah adalah membaca skrip, membangunkan projek-projek baru selain boleh bekerja dan belajar rutin tarian baru. Ia disebabkan sekarang, anda boleh menggunakan masa untuk melakukan persediaan.

“Mudah-mudahan tidak lama lagi, kita akan bangkit semula. Kami selalu begitu. Dan kita perlu menggunakan masa sebegini untuk bersiap sedia kembali dan menjadi lebih baik.

“Tiada siapa yang mahu ni berlaku, tetapi jika ia harus jadi seperti ini, anda boleh memanfaatkan masa dan kerja untuk menjadi lebih baik Tetapi lakukan kerja itu dari rumah,” katanya.