Skip to main
Logo Malaysiakini

Taste of Cherry, Covid-19 dan kejahilan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Segala apa yang ada dan berlaku di sekeliling kita semuanya adalah nasihat.

“Seandainya kau melihat pada keempat-empat musim dunia, setiap musim akan ada saja makanan untuk kita. Ada buah pada musim panas, begitu juga pada musim luruh. Sementara musim sejuk memberi kita buah yang berbeza, dan musim bunga pun begitu juga.

“Tidak ada ibu yang dapat mengisi peti sejuknya dengan pelbagai jenis buah untuk anak-anaknya. Tidak akan ada ibu yang dapat melakukan banyak hal untuk anak-anaknya sebagaimana apa yang dilakukan tuhan untuk seluruh makhluk ciptaannya. Apa tergamak nak kau tolak itu semua? Apa kau dah tak mahu lagi rasa keenakan buah-buah ceri itu?"

Kata nasihat itu diungkapkan oleh Bagheri pada Badii yang dah tak mahu hidup lagi.

Ada nasihat yang bukan kepalang agungnya pada visual dan bunyi dalam filem Taste of Cherry yang dihasilkan Abbas Kiarostami,

Sejak hari pertama Covid-19 mengganas - dan kemudian PKP dilaksanakan - banyak persoalan hidup yang mula kita pertanyakan.

Bagaimanakah rupa keadaan persekolahan anak-anak selepas ini? Apa dapatkah anak-anak kita bermain bola sepak di padang dan berekreasi di taman lagi? Masih adakah kesempatan untuk menonton perlawanan badminton di stadium, menyaksikan teater dan konsert, berebut makanan tengah hari di gerai dan restoran? Benarkah kehidupan akan berubah sepenuhnya selepas ini?

Wabak datang jatuhkan hukuman

Easter disambut sedikit aneh tahun ini. Entah bagaimana pula rupa sambutan Ramadan dan Syawal yang bakal dirai dalam krisis Covid-19 tidak lama lagi.

Tahun lalu seorang remaja 16 tahun bernama Greta Thunberg cuba menasihati pimpinan dunia agar jangan cuba lari daripada kenyataan sebenar kehidupan.

Katanya, "I am submitting this report as my testimony because I don't want you to listen to me, I want you to listen to the scientists. I want you to unite behind science. And then I want you to take real action.”

Tapi Greta hanyalah seorang budak perempuan. Seruannya senasib saja dengan nasihat ramai cendekiawan, pemikir, saintis dan seniman lain. Sindrom ignorance (kejahilan) yang dihidapi sekian lama oleh politikus akhirnya jadi wabak ke masyarakat hingga Covid-19 datang menjatuhkan hukuman.

Awal tahun ini misalnya, Balai Seni Negara menurunkan empat karya seorang seniman dalam sebuah pameran yang sedang diadakan. Bahkan sebelum itu ada seniman yang menyeru-nyeru suara perpaduan mazhab dimusuhi sampai tujuh bukunya diharamkan kerajaan.

Status quo memang tak mudah tunduk dengan nasihat. Namun mujur kita ada Dr Noor Hisham Abdullah yang dapat meluruskan kepercayaan masyarakat daripada mitos menteri bahawa Covid-19 dapat dikalahkan dengan meminum air suam.

Mujur Noor Hisham bersuara meminta menteri di Kementerian Pengajian Tinggi untuk sabar sebelum sewenang-wenangnya membenarkan semua pelajar balik ke kampung halaman.

Mujur Dr Noor Hisham berani menuntut agar menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menangguhkan cadangan pengeoperasian perniagaan seperti kedai gunting rambut kerana ia jelas masih belum selamat.

Renung bayang sendiri

Perasaan dalam Taste of Cherry amat membingungkan. Kiarostami menaratifkannya pada satu suasana kepenatan terhadap kehidupan dalam sebuah kereta yang berputar keliling Tehran, selain turun naik bukit dalam kuari yang kering ketandusan.

Latar kisah Badii, Bagheri dan beberapa watak lagi sengaja dibiarkan membawa misteri yang hanya diinformasikan melalui patah-patah dialog yang mereka ucapkan.

Dari situlah karakter dan jenis latar penghidupan mereka dapat dikesan.

Mise en scene garapan Kiarostami sungguh menggamamkan. Fungsi meletakkan subjek dalam setiap adegan yang diciptakan dalam Taste of Cherry amat berfungsi dan sangat meninggalkan kesan.

Lihat saja pada babak sewaktu Badii keluar dari kereta dan cuba melihat dari dekat persekitaran kuari. Badii merenung bayang sendiri dari balik terang cahaya matahari ditimbusi tanah dan dirempuhi traktor di kuari.

Framing kesunyian babak itu hanya digambarkan Badii dikelilingi pekat debu tanah sambil hingar kerikil dan dentuman timbunan batuan tanah jadi bunyi yang menghantui.

Badii yang kemudian terlena sementara kemudian dikejutkan seorang pekerja yang memintanya beredar segera. Sekembalinya dia ke kereta, suara Bagheri mula berbicara.

Bagheri seakan membacakan firman dari surah ke surah. Nasihat-nasihat yang disampaikan melalui cerita-cerita pengalaman Bagheri bagaikan mathnawi yang melagukan keindahan dan kecantikan kehidupan.

Badii yang sejak dari awal cerita tak henti mencari-cari, sebelum itu telah bertemu seorang basij polos berbangsa Kurdis. Dengan menawarkan wang lumayan, dia meminta pemuda itu datang menjenguknya pagi nanti di dalam lubang kecil bawah pohon di kawasan bukit sekitar kuari.

Badii memerintahkan agar namanya dipanggil dua kali, selamatkan dia seandainya dia masih bernyawa lagi, dan kalau dia benar-benar dah mati, timbus dan kebumikan saja dia di bawah pohon itu.

Mendengarkan itu membuatkan pemuda basij itu ketakutan lalu cabut lari.

Malah lelaki kedua yang Badii temui seorang bakal mullah berbangsa Afghan juga enggan melunaskan hajat Badii.

Watak, kenderaan, bukit-bukau, kuari, debu dan tanah jadi suatu citra agung yang bergerak dalam naratif penuh kias dan simbol yang sarat dengan banyak sekali makna dan perlambangan tentang nasihat hidup dan mati.

Pada hujung Taste of Cherry, Badii tetap nekad tak mahu hidup lagi. Bagheri berjanji untuk menyempurnakan niat Badii untuk mati. Dengan membawa sejumlah pil, Badii duduk merenung bulan bawah pohon dalam kegelapan menunggu Bagheri sambil menjelang pagi.

Kiarostami menutup filem ini dengan dirinya sedang membikin filem besar ini. Merakam sekumpulan tentera Iran yang diminta duduk berehat di bawah pokok tempat Badii mahu mati menunggu Bagheri.

Dalam keadaan dunia yang terus memanas dengan segala macam simptom, planet ini bakal tenat lalu hancur dan tak lagi dapat didiami. Apakah rupa keadaan hidup manusia selepas datangnya wabak Corona dan PKP ini?

Kerana pandangan dan kata nasihat saintis dan seniman seperti Dr Noor Hisham, Abbas Kiarostami - atau paling tidak, si budak Greta itu - memang payah sekali untuk didengari generasi ignorance.


HARIS HAUZAH ialah pemilik lukisan Duduk Rumah Untuk Merdeka yang takkan dapat dilihat sesiapa dalam pameran.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.