Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti wujud Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Siti Nurhaliza antara anak seni yang tidak ketinggalan mengambil inisiatif membantu pejuang barisan hadapan dan orang ramai yang terjejas dengan situasi penularan wabak Covid-19.

Penyanyi itu melaksanakan inisiatif tersebut melalui Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd untuk mengumpul wang sumbangan melalui Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP).

Sebagai permulaan, dia mensasarkan pengumpulan dana bagi kategori Peduli untuk kadar segera sebanyak RM50,000 bagi membantu menyediakan keperluan dan peralatan di pusat perubatan yang terlibat menangani Covid19.

“Bantuan ini akan disalurkan seberapa segera apabila dana mencukupi bagi penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE), topeng muka, sarung tangan dan peralatan lain.

“Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh perintah kawalan pergerakan dilanjutkan serta banyak jenis bantuan akan disalurkan.

“Kami yakin, bantuan kita semua akan dapat membantu perjuangan kita menentang Covid-19 sekarang. Terima kasih Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Siti, 41, selain Peduli, dana tersebut turut dibahagikan kepada dua lagi kategori iaitu Kemanusiaan dan Prihatin.

“Di bawah kategori Kemanusiaan, atas paksi mahu membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan. Bantuan kepada keluarga yang terjejas pendapatan di samping itu mempunyai anggota keluarga orang kurang upaya atau penyakit kronik.

”Seterusnya di bawah kategori Prihatin pula, bantuan ini khusus sempena bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan yang tidak berkemampuan serta badan kebajikan,” kata penyanyi lagu Terang itu.

Penyanyi nombor satu tanah air itu juga akan menjayakan Youtube Live P.K.P Siti Nurhaliza di saluran youtube Siti Official Video pada 19 April ini bermula jam 2.30 petang.

“Penonton Youtube boleh menderma dengan cara membuat imbasan Kod QR (QR Code) dan Siti akan menghiburkan mereka dengan nyanyian lagu pilihan.

“Sumbangan boleh dilakukan dengan menyalurkan wang ke platform pengumpulan dana Kitafund.

“Platform Kitafund dibina bagi memupuk nilai murni untuk menderma di samping memudahkan orang ramai untuk menyumbang dalam talian tanpa ragu-ragu,” katanya.