Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: KKKM lulus dana RM1.32 juta bantu penerbit filem terjejas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pemberian dana sebanyak RM1.32 juta sebagai Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada penerbit filem tempatan yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menterinya Saifuddin Abdullah berkata, pemberian dana itu adalah sebagai maklum balas kepada cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penerbit filem terus menghasilkan filem tempatan.

“Justeru, setelah berbincang dengan pengurusan tertinggi KKMM, saya dengan ini meluluskan dana tersebut kepada sebilangan syarikat yang layak. Pengurusan Finas akan menghubungi syarikat-syarikat berkenaan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap insentif itu dapat membantu penggiat seni tanah air terus menerbit dan memasarkan hasil karya filem untuk pasaran tempatan dan global.

Saifuddin juga berkata beliau akan mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pemegang kepentingan dan meneliti beberapa laporan penting dalam usaha bersepadu untuk memperkasa industri kreatif negara.

-Bernama