Skip to main
Logo Malaysiakini

'Agong pun guna telesidang, ngapa Caprice tak boleh?'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha politik kepada MP Iskandar Puteri, Syahredzan Johan, hari ini menyindir tindakan Caprice, yang berkunjung ke pejabat Dr Adham Baba untuk meminta maaf kepada menteri terbabit di Putrajaya semalam.

Syahredzan yang juga seorang peguam secara sinis mempertikaikan tindakan penyanyi rap terbabit kerana untuk meminta maaf, ia tetap boleh dilakukan melalui kaedah dalam talian.

Syahredzan turut membandingkan tindakan Caprice itu dengan kaedah digunakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa baginda berkenan mengadakan sesi prakabinet bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari Istana Negara.

“Agong pun boleh sidang video bincang hal negara dengan PM. Caprice tak boleh sidang video minta maaf pada Adham Baba?” ciapnya di Twitter.

Malaysiakini hari ini melaporkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli bertemu Adham untuk meminta maaf atas keterlanjurannya mengutuk menteri kesihatan itu melalui sebuah rakaman klip video dikongsikan di Instagram miliknya 20 April lalu.

Untuk rekod, selain Syahredzan, anak perempuan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah, turut memetik nama Caprice selepas dirinya sendiri dikecam teruk kerana dianggap melanggar PKP. 

Ciapan Syahredzan itu turut mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen yang antaranya mendakwa tindakan Caprice mengecam Adham kerana dia dibayar atau cuba melobi projek dari menteri terbabit.

KKM jemput datang berjumpa

Sementara itu, Caprice menjelaskan kehadirannya dibuat atas kapasiti memenuhi undangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain menafikan urusan dijalankan mempunyai kaitan dengan video yang dimuat naik.

Sebaliknya, Caprice mendakwa, KKM berminat untuk mengetahui kerja-kerja amal bagi membantu petugas barisan depan yang dilakukannya setiap hari Rabu dan Jumaat.

“Tidak. Mungkin KKM mengetahui akaun media sosial saya daripada video yang tular.

"Mereka kemudian menjemput saya untuk mengetahui perspektif seseorang yang membantu petugas barisan depan dan individu yang mencipta penyelesaian melalui teknologi.

“Saya ambil dari sudut pandang Islamik, bahawa mungkin ada hikmah video tu jadi tular dan mereka akhirnya tahu apa sedang diusahakan saya,” katanya.

Justeru, Caprice berkata, dia juga mengambil kesempatan tersebut untuk berbincang bagaimana caranya membantu rakyat kembali bekerja secara selamat tanpa ancaman Covid-19 melalui sebuah aplikasi.

“Pasukan saya mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam membangunkan sistem dan aplikasi, kami berbincang cara paling selamat untuk rakyat kembali bekerja atau berniaga.

“Saya sedang mengusahakan sesuatu untuk negara dan bagaimana untuk bangkit semula dalam 12 bulan akan datang,” katanya.