Skip to main
Logo Malaysiakini

Walt Disney saham paling popular di platform eToro

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih ramai pelabur runcit Malaysia membeli saham-saham yang disifatkan sebagai berdaya tahan untuk mengharungi cabaran atau mampu meraih manfaat daripada krisis COVID-19 walaupun terdapat laporan berita semasa yang kurang memberangsangkan, demikian menurut data terbaharu platform pelaburan, eToro.

Walt Disney terbukti muncul saham paling popular di platform eToro pada Mac dengan mencatat peningkatan sebanyak 196 peratus dalam kalangan pelabur Malaysia berbanding data Februari lepas.

Menurut Ketua Asia Tenggara eToro Paul Familiaran, Mac merupakan bulan mencabar untuk pasaran global yang menyaksikan nilai ribuan saham lesap berikutan tekanan semasa.

"Bagaimana pun, data-data kami sebaliknya menunjukkan pelabur lebih terkawal menguruskan portfolio masing-masing dengan membuat keputusan positif mengenai pengurusan risiko dan meninjau peluang jangka panjang.

“Malah, ia memaparkan pendekatan atau pertimbangan lebih wajar yang sebelum ini tidak banyak dilihat di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejatuhan harga saham Walt Disney sebanyak 18 peratus pada Mac berikutan penjualan saham syarikat akibat pandemik COVID-19, kalangan pelabur Malaysia sebaliknya memanfaatkan keadaan dengan membeli saham-saham pada harga rendah.

Keadaan sama juga boleh dilihat menerusi saham Mastercard yang melonjak ke tempat ke-10 daripada ke-20 yang membabitkan lonjakan 277 peratus pada Mac, susulan harganya yang rendah.

Saham Advanced Micro Devices (AMD) juga kekal popular berikutan peningkatan populariti industri permainan video yang melonjakkan permintaan terhadap unit pemprosesan pusat (CPU).

Menurutnya, pelabur optimis terhadap masa depan syarikat itu memandangkan teknologi CPU AMD adalah melangkaui saingannya seperti Intel.

Familiaran turut mengingatkan apa yang penting adalah mana-mana pelabur perlu sentiasa memikirkan pandangan atau prospek jangka panjang.

"Banyak pelabur runcit yang bertindak melabur dalam syarikat yang mampu membantu mengharungi tempoh sukar COVID-19 ini seperti Alibaba, Amazon dan Disney.

“Kami menyaksikan ramai pelanggan eToro turut membuat pelarasan dan menambah portfolio masing-masing kerana yakin dengan pandangan bahawa harga terbaik (saham) akan muncul pada tempoh-tempoh sukar,” katanya.

-Bernama