Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramadan buat Ali Puteh kian rindu Abam Bocey

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelawak Ali Puteh meluahkan kerinduan terhadap allahyarham Abam Bocey sempena menyambut Ramadan pertama tanpa abangnya di sisi.

Kata Ali, bulan puasa kali ini dirasakan amat berbeza dengan ketiadaan abangnya itu terutama apabila ada antara kenangan menyambut Ramadan bersama-sama yang paling tidak boleh dilupakan.

Menurutnya, setiap tibanya Ramadan, Abamlah orang yang paling sibuk duduk di dapur untuk menyiapkan masakan berbuka.

“Ramadan bakal tiba esok. Tiada apa yang mampu diungkapkan. Kehilangan yang sangat dirindui.

“Sebelum ni setiap kali bulan Ramadan, abang paling sibuk di dapur memasak juadah berbuka untuk kita sekeluarga.

“Tapi, kali ni berbeza sangat bang. Sangat-sangat berbeza. Kau tiada lagi bang, pergi dan takkan kembali. Masih tersemat di jiwa ini yang kau masih bersama kami,” katanya di media sosial semalam.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Feb tahun lalu selepas mengadu kurang sihat dan demam dua hari sebelum itu.

Pelawak terbabit meninggalkan seorang balu, Siti Nor Hidayah dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, yang kini berusia 10 bulan.

Selain itu, Ali turut menyingkap kenangan semasa mereka berdua pernah bersama-sama berniaga di bazaar Ramadan.

“Kita berniaga bazaar Ramadan bertahun-tahun lamanya. Dari kita susah sampailah sekarang. Angah rindukan setiap gerak geri kau abang.

“Esok puasa dah, kami sekeluarga berpuasa tanpa kau buat kali pertama bang. Allahu… sayup hati ni yang merinduimu wahai abang. Tenang di sana ya bang bermain bersama Ainul Mardhiah,” katanya.

Ainul atau nama penuhnya Sharifah Nur Ainul Mardhiah, adalah anak kedua Ali yang meninggal dunia akibat kompilkasi jantung pada 26 November lalu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.