Skip to main
Logo Malaysiakini

14 artis Singapura bergabung suara tenangkan orang ramai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 14 artis Singapura daripada pelbagai etnik dan latar belakang bergabung menghasilkan single Stay Home untuk menasihati rakyat republik itu agar terus kekal di rumah demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara Calvin Wong, berkata lagu tersebut, terutama liriknya, diharap dapat memberi motivasi agar mereka terus tabah di tengah-tengah pandemik itu.

“Kami sangat teruja dengan inisiatif ini yang memperlihatkan semangat para artis dan eksekutif muzik bekerjasama secara harmoni dalam waktu yang singkat untuk menghasilkan karya yang luar biasa.

“Kami amat berbangga dengan 14 artis ini yang mewakili generasi baru rakyat Singapura dalam mengharungi cabaran di kala ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay Home dilancarkan oleh Universal Music Singapura pada jam sembilan pagi hari ini.

Ia menampilkan barisan artis seperti Charlie Lim, Yung Raja, Fariz Jabba, ShiGGa Shay, Alif, Abangsapau, Tosh Rock, Iman, Aisyah Aziz, Shye, Zadon, YAØ, Hashy dan Dee Kosh.

Diinspirasikan daripada #JanganKeluar versi Malaysia, single yang dikeluarkan sebagai reaksi terhadap pelaksanaan langkah pemutus rangkaian (CB) oleh kerajaan Singapura bermula 7 April dan dijangka berakhir 1 Jun ini.

Masih mengekalkan lagu asal, baris melodi dan paduan suara dalam versi Singapura diolah semula dengan para artis menyuntik kreativiti sendiri.

Wong berkata lagi, Stay Home juga bertujuan memberi sokongan kepada usaha pentadbiran negara dalam memerangi wabak itu.

Katanya, ia membawa mesej betapa penjarakan sosial tidak bermaksud menjarakkan emosi dengan orang lain.

“Projek ini menyoroti bagaimana muzik dapat terus hidup dengan kaedah digital dan kolaborasi melalui teknologi,” katanya lagi.

Projek tersebut memakan masa selama 11 hari, dengan rakaman lagu dan video muzik dibuat di rumah artis masing-masing.

Video muziknya antara lain memaparkan bagaimana mereka mengisi masa di rumah dan berharap lebih ramai orang akan terus berbuat demikian, bagi menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.