Skip to main
Logo Malaysiakini

20 festival filem terkemuka bergabung, siaran percuma di YouTube

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lebih 20 festival filem terkemuka bergabung bagi menyertai acara penstriman secara percuma di YouTube selepas panggung wayang ditutup akibat Covid-19, mengakibatkan pembatalan acara tahunan di Cannes dan New York.

Dipetik Reuters, penganjur Tribeca Enterprises dan YouTube berkata, acara dijangka berlangsung selama 10 hari iaitu We Are One: A Global Film Festival bakal menampilkan kandungan antaranya dari festival filem Berlin, Cannes, Venice, Sundance, Toronto dan Tribebeca pada 29 Mei ini.

Acara besar-besaran itu bakal menayangkan filem, dokumentari, muzik dan komedi. Bagaimanapun, setakat ini maklumat lanjut berkenaan perkara itu belum diumumkan selain berkemungkinan besar tiada filem-filem baru dilancarkan akan turut menyertai program berkenaan.

Pembatalan Filem Festival Cannes pada Mei ini di Perancis dan ketidakpastian berkaitan penganjuran festival di Venice serta Toronto pada September depan akibat Covid-19 memusnahkan peluang pembikin filem dan studio perfileman untuk mempromosi karya mereka pada khalayak.

Penganjur Filem Festival Cannes berkata, mereka berbangga masih berpeluang menyertai acara YouTube bagi mengetengahkan bakat luar biasa dan filem, ia membolehkan penonton mengalami nuansa penceritaan dari seluruh dunia dan keperibadian seni setiap festival.

Pengasas bersama Festival Filem Tribeca yang dianjurkan di New York, Jane Rosenthal - yang juga terpaksa dibatalkan - berkata, idea berkenaan bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat tanpa sempadan yang berjuang memerangi Covid-19.

“Seluruh dunia perlu penyembuhan sekarang,” katanya.

Antara festival lain turut serta adalah Mumbai, Sarajevo, Sydney, Tokyo dan London.

Walaupun penstriman tersebut dibuat secara percuma, penonton tetap diminta untuk menyumbang kepada Dana Tindak Balas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Covid-19.