Skip to main
Logo Malaysiakini

Koleksi tudung Vivy Yusof didakwa 'ada persamaan' jenama lain

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kredibiliti pereka fesyen Vivy Yusof sebagai usahawan dipertikaikan apabila koleksi tudung miliknya didakwa "mempunyai persamaan" dengan jenama dimiliki anak tempatan lain.

Rekaan The Artsy dUCk yang baru dilancarkan semalam mengundang perhatian pengguna alam maya apabila didakwa "mempunyai persamaan" termasuk dari segi idea konsep pemasaran jenama tudung model Nia Atasha Rosli iaitu Soonaru x Sleepy Studio.

Nia turut membuat perbandingan antara rekaan yang dilancarkan dua tahun lalu itu dengan The Artsy dUCk melalui akaun Instagram miliknya.

Katanya, dia tampil membuat penjelasan bukan kerana ingin membuat dakwaan secara membuta tuli tetapi disebabkan berasa ia suatu keperluan terutama apabila mendapati terdapat persamaan antara satu sama lain.

"Saya faham tiada satu perkara boleh dirujuk sebagai asli sekarang. Pasti ada pereka yang diinspirasi satu sama lain dan bukan tempat saya untuk mendakwa atau menuduh.

"Saya tak berkata rekaan terbabit seratus peratus sama. Saya berkata, ia mempunyai persamaan termasuk imej digunakan untuk kempen pemasaran.

"Perkara yang betul-betul saya nak tuduh di sini adalah anda memang memerlukan pasukan kreatif baru kerana siapa saja yang bersama kamu sekarang sering mendatangkan malu pada kamu. Mungkin fikirkan dan berdukacita mengenai perkara tersebut," katanya.

Nia juga berkata, dia sedia maklum sekiranya perkara dibangkitkannya itu tidak akan mendapat keadilan bahkan terpaksa pasrah berdepan dengan kekecewaan.

"Bayangkan perasaan saya. Sebuah perniagaan kecil atau pasukan berdikari yang patah hati. Sebab apa? kerana kami tahu kami tak akan dapat menang jika menentang kamu. Kerana kami pengusaha kecil-kecilan yang tidak terdaya," katanya.

Susulan itu, Vivy memberi respons dengan berkata, dia menerima seadanya sekiranya ada pihak akan menuduh mereka menciplak sebaik mendapati wujud sebarang persamaan.

Namun, Vivy menafikan bahawa pihaknya menciplak rekaan terbabit mahupun merujuk hasil kerja sesiapa.

"Sekali lagi duCK dituduh menciplak rekaan orang lain. Sekali lagi. Saya akan berdiam diri kerana sudah letih untuk berdebat. Kebanyakan yang menuduh adalah jenama tempatan yang kami bantu dan harap untuk berkembang.

"Jadi kamu boleh rasai bagaimana sedihnya dituduh dan dimalukan oleh pihak terbabit. Dan masih, saya berdiam diri dan benarkan mereka menuduh.

"duCk tidak menciplak seperti mana-mana tuduhan, dan ini termasuk The Artsy duCK yang dilancarkan malam tadi. Cetakan ini adalah milik kami yang telah dibangunkan dalam set alat tulis Threesome Pen," katanya.

Kata Vivy, rekaannya dihasilkan bermula Jun tahun lalu manakala Soonaru x Sleepy Studio hanya dilancarkan pada Disember tahun sama.

Bagaimanapun, Nia menjawab: "Kolaborasi bagi menghasilkan koleksi terbabit sudah bermula seawal bulan Mei."

Untuk rekod, isu terbabit mengundang perhatian warganet hingga menjadi sohor kini di Twitter Malaysia pagi tadi.