Skip to main
Logo Malaysiakini

200 pemuisi tempatan, antarabangsa sertai program baca puisi Ramadan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hampir 200 pemuisi tempatan dan antarabangsa memenuhi laman sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube masing-masing dengan video bacaan puisi bertemakan Ramadan, sebagai tanda solidariti menyambut bulan mulia ini.

Selain Malaysia, program ‘Baca Puisi Ramadan Sedunia’ secara dalam talian itu, turut disertai pemuisi dari Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Korea Selatan, India, Bangladesh, Jordan, Gambia dan Australia.

Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) berkenaan berlangsung selama 24 jam, bermula pukul 12.00 tengah malam tadi, dan akan berakhir pada 12.00 tengah malam ini.

Penaung PEMUISI Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata beliau kagum dengan semangat kerjasama yang diterima daripada pemuisi, lebih-lebih lagi daripada mereka yang bukan beragama Islam tetapi turut sama menyuarakan nilai-nilai murni kemanusiaan.

“Hal ini amat bertepatan dengan visi PEMUISI iaitu ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’. Nilai-nilai baik dan murni haruslah diperjuangkan dan nilai-nilai buruk mestilah ditolak dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Bernama.

Program Baca Puisi Ramadan Sedunia boleh diikuti menerusi https://bit.ly/bacapuisiramadansedunia.

Hamad Kama Piah berkata program berkenaan turut dipantau oleh wakil Malaysia Book of Records untuk dipertimbangkan bagi mendapat pengiktirafan dalam kategori Baca Puisi Ramadan Dalam Talian Paling Ramai.

Program baca puisi dalam talian adalah yang kedua dianjurkan PEMUISI, sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi mengekang ancaman wabak COVID-19.

Pada 23 Mac lalu, PEMUISI telah menganjurkan Sayembara Baca Puisi Dalam Talian sempena Hari Puisi Dunia UNESCO 2020 yang menarik penyertaan menggalakkan.

- Bernama