Skip to main
Logo Malaysiakini

Dituduh pura-pura OKU, Ras Adiba pilih untuk memaafkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Memaafkan - itu pendekatan diambil bekas personaliti TV3 Ras Adiba Radzi terhadap mana-mana pihak yang sebelum ini pernah mencemuh dirinya berpura-pura menjadi orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, dia memahami sekiranya banyak pihak tidak dapat memahami keadaan sebenar yang perlu didepaninya pada ketika itu.

“Hari memaafkan. Pada 2002, ketika saya menjadi OKU, ramai yang mengatakan saya tidak sakit dan berpura-pura.

“Mereka berkata begitu mungkin kerana tidak faham keadaan saya dan apa sebenarnya melanda.

“Justeru pada saat ini, saya ingin maafkan kalian yang tidak tahu keadaan sebenar dan sesiapa yang berkata buruk selain menfitnah saya selama ini," katanya di Instagram semalam.

Kata Ras Adiba, kata-kata kejian dilemparkan terhadapnya itu turut menjejaskan keluarga, namun dia memilih untuk mendiamkan diri berbanding memberi penjelasan.

Menurutnya, lebih baik begitu kerana di fikirannya ada perkara lain lebih perlu diutamakan, iaitu dirinya.

"Saya ditohmah dan difitnah. Payah sungguh keadaan saya dan keluarga ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya hanya mendiamkan diri.

"Malas mahu menerangkan keadaan sebenar kerana ketika itu saya sedang sukar kerana terkejut, bergelut dengan apa yang berlaku pada badan saya. Saya menjadi tidak keruan," katanya.

Menjelaskan situasi dirinya sebagai OKU, Ras Adiba berkata, dia mengalami lumpur separuh badan atau paraplepgi.

"Saya seorang OKU yang lumpuh separuh badan atau seorang Paraplegia.

"Dengan fisioterapi, saya mampu membawa kereta dan berenang menggunakan tangan (kaki saya akan jatuh ke dalam air ketika berenang)

"Pergerakan saya terbatas dan saya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.