Skip to main
Logo Malaysiakini

Ashraf Muslim sayu tinggalkan 'keluarga' di wad Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelakon Ashraf Muslim mengaku sudah dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga sehari sebelum Ramadan namun memilih untuk terus dikuarantin agar dapat mengerjakan ibadah beramai-ramai dengan pesakit lain.

Atas alasan itu katanya, dia berasa sayu apabila akhirnya terpaksa jua meninggalkan Wad 31, Hospital Sungai Buloh (HSB) kerana pesakit-pesakit lain Covid-19 yang berada di berkenaan sudah dianggap ibarat keluarga sendiri.

"Masanya sudah tiba, berat hati ni untuk meninggalkan sahabat-sahabatku di wad ini. Mereka telah kuanggap sebagai keluargaku. Allahuakbar, tak boleh nak terjemahkan perasaan ini.

"Sebenarnya, saya sudah lama negatif pada sehari sebelum Ramadan dan saya memilih tinggal di Wad 31 untuk kuarantin diri di wad.

"Banyak sebab keputusan ni dibuat dan yang paling penting ialah saya dapat mengerjakan solat berjemaah pada bulan Ramadan dan ibadah yang dapat dibuat bersama-sama pesakit.

"Ni adalah terapi agar hati saya jadi lebih tenang. Maafkan dengan tindakan saya tu," katanya melalui sebuah klip video di muat naik di Instagram malam tadi.

Ashraf, 38, kembali ke pangkuan dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi selepas kira-kira tiga minggu dikuarantin di HSB kerana positif wabak berkenaan.

Pelakon terbabit disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari menjalani penggambaran drama Demi terbitan RTM di Scotland pada 31 Mac lalu. Dia juga menjalani kuarantin secara suka rela sekembalinya ke tanah air.

Pada masa sama,aktor itu berkata, dia menimba banyak pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang berada di HSB.

"Banyak cerita, banyak pengalaman, banyak perkongsian dilakukan bersama dimana pesakit-pesakit semuanya datang daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang tapi hanya satu sahaja yang kami inginkan iaitu 'ketenangan.'

"Jangan risau sahabat..Allah kan ada, dia selalu bersama-sama kita. Mengadulah pada dia... Insya-Allah Allah akan bantu.

Ashraf juga memohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan pesakit Covid-19 yang sedang menerima rawatan supaya segera pulih.

"Sama-sama kita doakan semoga pesakit Covid-19 cepat pulih dan dapat berjumpa ahli keluarga serta penyakit ini hilang dari muka bumi.

"Insyaa-Allah, terima kasih Allah kerana memilihku sebagai pesakit Covid-19 dan syukur padamuku berasa nikmat ini," katanya.