Skip to main
Logo Malaysiakini

Dahlah terdesak, permohonan BPN pemuzik pula ditolak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Golongan pemuzik antara pihak yang mengeluh apabila permohonan mereka untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ditolak kerajaan baru-baru ini.

Pemain dram kumpulan rock XPDC, Saiful Rizla Kamaruddin - atau dikenali sebagai Lola - misalnya menyatakan rasa amat terkilan kerana pada awalnya mendapati dia layak menerima BPN fasa pertama.

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertukar apabila semakan kali kedua menunjukkan dia tidak layak untuk fasa kedua.

Kata Saiful - yang meraih pendapatan harian sepenuhnya melalui persembahan muzik - alasan permohonannya ditolak ialah kerana namanya pernah didaftarkan di bawah sebuah syarikat perniagaan yang didakwanya ditutup hampir empat tahun lalu.

“Selepas berminggu-minggu menunggu dengan penuh sabar akhirnya berita duka pula dapat. Saya diberitahu 'BPN anda tidak layak kerana pemohon atau pasangan mempunyai syarikat berdasarkan data agensi serta disarankan untuk memohon Geran Khas Prihatin (GPN)'.

“Saya rasa saya perlu bersuara mengenai perkara ni selepas ramai rakan pemuzik lain menerima nasib sama," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Saiful Rizla lagi, isunya bukanlah berapa jumlah bantuan yang akan diterima sebaliknya mereka - serta pemuzik lain - berada dalam keadaan amat terdesak.

“Kami adalah antara sektor awal yang terjejas kerana segala persembahan konsert dan juga persembahan harian dihentikan serta-merta,” katanya.

Bila pula nak dapat

Pada 10 Mei lalu, selepas mendapat banyak rungutan dan kritikan, kerajaan melanjutkan tempoh rayuan BPN sehingga 31 Mei ini bagi membolehkan mereka yang terbabit mengemukakan permohonan lagi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak boleh berjanji bahawa semua rayuan akan diluluskan, sebaliknya hanya permohonan yang memenuhi syarat dan munasabah akan dilayan. 

Saiful Rizla, 47, berkata meskipun Muhyiddin menyatakan rayuan boleh dibuat, namun dia tetap gusar sekiranya permohonannya itu masih ditolak.

Justeru, katanya, hasratnya untuk menggunakan wang tersebut sebagai modal perniagaan sambilan menjual juadah berbuka puasa dalam talian bagi menampung pendapatan harian juga dikhuatiri terbantut.

Saiful Rizla atau Lola 

“Ramai hampa, namun pengisytiharan perdana menteri memberi sikit kelegaan dan harapan, cuma ingin tahu, bilakah pula tarikh perolehannya?

“Adakah kami masih perlu menunggu lagi, dan adakah rayuan ini benar-benar diterima? Semoga ungkapan 'no one left behind' dalam isu bantuan ini benar-benar terlaksana,” katanya.

Saiful Rizla juga mengibaratkan nasibnya kini bagai sudah jatuh ditimpa tangga memandangkan vokalis XPDC, Ali, baru saja menghadapi musibah apabila tubuhnya disambar api ketika membakar sampah. 

Malap entah sampai bila

Pemuzik Muhammad Mawardi Muhamad Raslani atau lebih dikenali sebagai Eddy Karisma juga menyokong kenyataan tersebut selepas mendapati permohonannya turut ditolak atas alasan dia memiliki sebuah syarikat.

Mawardi, 46, mendakwa, syarikat terbabit sebenarnya sudah ditutup hampir lapan tahun dulu.

Eddy Karisma

Katanya, situasi pemuzik sepertinya benar-benar terdesak sekarang kerana sebelum ini BPN dilihat bagaikan talian hayat untuk meneruskan kehidupan yang terjejas.

“Kami benar-benar terdesak sekarang. Bantuan BPN memang dinantikan sebagai talian hayat, tapi apabila ramai mendapat berita sebaliknya, ia memang mendukacitakan.

“Kami semua terputus kerja dan pendapatan sepenuhnya, sektor kami malap entah sampai bila.

"Kalau pulih pun mungkin memakan masa enam bulan atau setahun lagi," katanya yang sudah berkecimpung lebih 15 tahun dalam persembahan hotel dan kelab.

RyeZoll

Sementara itu, pemuzik jalanan (busker) Zuraini Ishak atau RyeZoll dari kumpulan Key Project yangberharap agar kepincangan dalam sistem pengurusan BPN segera ditangani.

“Berita malang, sudahlah tidak boleh busking , buah yang ditunggu tidak jadi jatuh.

“Seharusnya dipermudahkan sedikit apa-apa prosedur bagi merealisasikan hasrat perdana menteri untuk membantu semua pihak tanpa ketinggalan dengan lebih berkesan,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.