Skip to main
Logo Malaysiakini

Haramkan saja aktiviti ziarah raya musim Covid-19 ni, kata Shahrulezad

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengarah Shahrulezad berpendapat garis panduan kerajaan mengenai amalan ziarah Aidilfitri yang mengehadkannya kepada 20 orang pada satu-satu masa dalam sebuah rumah sebagai hanya mengundang malapetaka.

Menurutnya, kelonggaran sedemikian - jika dipraktikkan di kediaman yang kecil seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) - tidak sesuai sama sekali.

"Susah-susah haramkan saja peraturan boleh beraya tak lebih 20 orang tu. Tak de maknanya boleh buat penjarakan sosial kalau rumah sejenis rumah pangsa kecil.

"Kalau mak pak kita tinggal kat PPRT pas tu ada doploh (20) orang sekali datang? Ko ghaser? (rasa).

"Penjarakan sosial ker tidak? Kelonggaran macam ni lah lagi mengundang malapetaka sebenarnya. Macam mana kita nak pastikan tiada adegan peluk cium salam semua tu dalam rumah," katanya di Instagram.

Justeru, kata pengarah tersebut, adalah lebih wajar sekiranya kerajaan melarang aktiviti ziarah-menziarah bagi mengelak lebih banyak kes baru membabitkan wabak Covid-19.

Malah katanya, aktiviti beraya juga akan menyebabkan orang ramai lupa bahawa mereka perlu menjaga penjarakan sosial selain menutup mulut dan hidung dengan pelitup muka kerana masing-masing sibuk menjamu juadah disediakan.

Makan rempeyek, tonton sarkas

"Masing-masing akan lantakkan soal penjarakan sosial, topeng penutup mulut dan hidung bagai tu. Orang sibuk nak makan ketupat, beraya dia sibuk nak ber-face mask bagai. So risiko di situ ada.

"Jadi, nak senang cerita, pada hari raya tu diharamkan terus aktiviti ziarah-menziarahi habis cerita. Orang tak pening kepala nak fikir tu boleh tak tak. Perintah kawalan pergerakan diperketatkan terus pun bagus.

"Biar diam semua duduk rumah masing-masing pakai baju raya tahun lepas sambil makan rempeyek dan tengok sarkas," katanya.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas menjelaskan bahawa aktiviti ziarah-menziarahi masih boleh diadakan pada Aidilfitri dengan syarat tertentu.

Jelas Muhyiddin, ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Umat Islam dijangka akan menyambut Aidilfitri pada 24 Mei ini dan kelaziman pada hari tersebut, rakyat akan mula ziarah-menziarahi sanak-saudara dan sahabat. 


Baca 'Tak ada salam-salam, tak ada cium-cium' raya nanti


Semalam pula Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah 20 orang itu dibuat sebagai perbandingan saja dan tidak terpakai pada rumah yang kecil atau terhad.

Beliau juga menekankan perlunya orang ramai memberi perhatian lebih kepada warga emas kerana mereka lebih rentan kepada penyakit berjangkit seperti Covid-19.

Pada masa sama, pengarah drama popular Nur itu berkata, sekiranya diharamkan, aktiviti ziarah berkenaan tidak sedikitpun menjejaskan ekonomi negara.

"Lain la kalau ekonomi terbantut sama saya faham la kenapa ada kelonggaran tu," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.