Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa jadi pada Demi Tuhan Aku Bersaksi, tanya penerbit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penerbit Demi Tuhan Aku Bersaksi, Fadzil Zahari, kini tertanya-tanya mengapa selepas hampir setahun kontroversi telefilem itu berlalu, naskhah berkenaan masih belum ditayangkan di stesen televisyen RTM.

Justeru Fadzil berharap ada penjelasan daripada pihak yang berkenaan mengapa ia boleh berlaku sedangkan telefilem terbabit mendapat ulasan positif pelbagai pihak termasuk Dr Zulkifli Mohamad yang menjadi mufti Wilayah Persekutuan ketika itu.

"Assalamualaikum. Tumpang tanya RTM, bila akan ditayangkan telefilem #DemiTuhanAkuBersaksi ni?

"Selepas majlis pratonton dengan mufti Wilayah, ia mendapat respons yang baik dan dikatakan mengandungi (unsur) penuh dakwah.

"Namun, sampai sekarang dah nak dekat setahun, mufti pun dah naik jadi menteri agama tapi cerita ni masih belum di tayangkan. Boleh kami tau pasaipa (kenapa)?" soalnya di Instagram.

Demi Tuhan Aku Bersaksi mula menuai kontroversi susulan iklan acahnya yang diedarkan pada Julai tahun lalu menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Kerana itu penerbitnya didakwa sengaja ingin memburukkan sekolah tahfiz kerana menghasilkan naskhah yang mengangkat budaya songsang melalui kehidupan seorang mak nyah - watak dilakonkan Syafie Naswip.

Belum sesuai buat masa ini

Bagaimanapun, dalam cerita tersebut mak nyah terbabit sebenarnya dipaparkan gigih ingin kembali ke pangkal jalan dengan mendalami agama.

Susulan itu, Prokuya Studios - yang menjadi syarikat penerbit telefilem berkenaan - menjemput Zulkfli serta Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, Pencetus Ummah Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusof; Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan, Mohd Dailami Che Age; pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Kamilin Jamilin, untuk menonton dan menilai telefilem berkenaan.

Maklum balas diberikan mereka berkaitan telefilem tersebut adalah positif selain menyifatkan naskhah berkenaan sarat mesej dan tidak memberi gambaran negatif terhadap pusat tahfiz.

Fadzil Zahari

Selain Syafie, Demi Tuhan Aku Bersaksi turut menampilkan pelakon Fezrul Khan, Sheila Mambo, Taiyuddin Bakar, Aman Graseka, Ismail Yaacob dan Melanie Tan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Program TV RTM, Lokman Muda, menjelaskan telefilem berkenaan masih belum ditayangkan atas alasan-alasan tertentu.

"Demi Tuhan Aku Bersaksi masih belum sesuai ditayangkan buat masa ini antaranya kerana ia menyentuh soal sensitiviti dan keagamaan.

"RTM tak anggap kandungan memaparkan institusi pusat tahfiz sebagai memberi gambaran negatif tetapi kita perlu mengambil kira pandangan secara keseluruhan dan setakat ini tidak mahu menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat sebagaimana berlakunya semasa ura-ura telefilem ini hendak disiarkan dulu," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.