Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa masih percaya kerajaan yang menganggap filem cuma hiburan?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Sewaktu Mansor Puteh membukukan tulisannya menjadi Kritikan Filem Mansor Bin Puteh itu dicetak buat pertama kali pada 1995, masyarakatnya masih belum benar-benar bangga dengan filem-filem yang kita dihasilkan.

Sejak naskhah Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan dihasilkan Dr Mohd Faizal Musa diterbitkan pada 2012 sehinggalah ia diharamkan kerajaan BN, filem Malaysia masih mencari arah dan tempat untuk berpaut agar ia menjadi hasil yang dapat membanggakan masyarakat.

Hinggalah ketika Nasir Jani membukukan pengalamannya dalam Pemberontak Filem: Rebel With A Cause Without Pause tahun lalu, kita masih enggan memandang serius akan filem, apatah lagi untuk memberikan penarafan bahawa ia adalah produk yang membanggakan dari industri perfileman tempatan.

Kita tidak akan pernah terlintas untuk meletakkan buku Kumpulan Esei dan Kritikan Filem tulisan arwah Dr Anuar Nor Arai pada tempat yang sesuai. Atau paling tidak, teringin mengabadikan kritikan-kritikan filem karangan Hannafiah Samad, Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Ku Seman Ku Hussein, A Wahab Hamzah atau Nasir Jani itu menjadi makalah yang wajib dikaji pelajar.

Justeru tidak mengejutkan apabila ada pencinta filem kita tidak mengetahui akan kewujudan buku berjudul Malaysian Cinema In A Bottle tulisan Hassan Abd Muthalib, seorang bapa animasi negara.

Apa yang tidak kena dengan kita sebenarnya?

Salah satu punca besarnya ialah kerana silap kerajaan. Malang sekali apabila sejak dahulu lagi kerajaan seakan ketagihan sangat mengangkat orang yang buta seni untuk diletakkan sebagai menteri yang kemudian membuat pelantikan penting di Finas.

YouTuber faqih perfileman

Di sebalik kedudukan yang diberikan, mereka selalu saja membisukan suara, keperluan dan kehendak industri filem.

Maka apa yang ada di depan mata kita ialah sebuah kerajaan acah-acah pencandu atau pencinta filem serta penyanjung seniman. Kita yang selalu diperbodohkan kemudian segera menjadi inzal sebab terlalu seronok dibuai bermacam janji yang bukan-bukan.

Sebenarnya mereka hanyalah politikus penunggang seni, sastera dan budaya demi kepentingan perut dan periuk nasi mereka saja. Tak ubah seperti ustaz-ustaz politik yang menunggang agama dan jadong-jadong parti perkauman menunggang rasisme.

Realitinya, siapapun yang memegang posisi kerajaan tidak akan pernah sesekali mempedulikan seni, sastera, budaya dan filem yang sering saja dibakulsampahkan oleh YouTuber faqih perfileman.

Nasir Jani - sewaktu ditanya pandangannya mengenai industri filem sekarang - menjawab: “Saya lihat, perkembangan industri menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan termasuk dari segi karya dan kualiti. Malah semangat yang ada pada penggiat seni wajar dipuji apabila mereka bertungkus-lumus dalam menghasilkan karya untuk penonton.”

Nasir Jani yang tidak pernah berhenti berjuang dan melawan sejak memulakan kariernya sebagai pengarah seni dalam filem Mekanik pada 1983 mengakui filem kita berkembang dan meningkat.

Malah hari ini kita ada karya-karya hasilan Sabri Yunus, Uwei Haji Shaari, Dain Said, Al Jafree Md Yusop, Namron dan Mamat Khalid memiliki pengaruh semangat universal lokal yang amat kuat.

Kita boleh saja berbicara tentang struktural dan kontekstual atau mise-en scene dan semiotik karya-karya yang mereka garapkan.

Gagasan pemikiran, anutan ideologi dan kenyataan yang diluahkan melalui dialektika mereka boleh saja kita kupas dengan teori-teori formalistik, psikologi, sosiologi, moral, arketaip, stilistik dan banyak lagi.

Ini kerana mereka tahu cara untuk meniru cara masyarakatnya berfikir dan mampu bercakap dalam karya yang dihasilkan. Mereka sedar bahawa seni filem itu merupakan cerminan masyarakat di tempat ianya dihasilkan.

Jadi barangkali masalah kita bukanlah pengkarya atau karya-karya yang mereka hasilkan. Di tempat lain, baik di AS, Eropah, Korea mahupun Indonesia, mereka turut menghasilkan filem-filem buruk.

Cari makan sambil mendidik

Masalah kita di sini ialah, masyarakat kita sudah terlalu lama diperdaya dengan dogma dan tipu daya kerajaan yang selama bertahun-tahun tidak pernah meletakkan secebis keyakinan bahawa seni, sastera, budaya dan filem itu penting kepada rakyat.

Filem di negara kita tidak pernah diangkat sebagai sumber falsafah atau pemikiran. Ia tidak pernah diajar dan dikaji secara formal di sekolah. Sebaliknya filem sekadar jadi bahan jenaka dan perkakasan untuk gelak-gelak dalam suatu kandungan yang dipanggil hiburan.

Kerajaan apa pun yang berkuasa, tidak pernah ada rasa tanggungjawab pada mereka untuk mengangkat seni, sastera, budaya dan filem ke tahap lebih tinggi daripada sekadar hiburan dan sumber hedonisme.

Sedangkan di sana ada ramai insan yang menjadikan industri itu sebagai periuk nasi dan tempat untuk mencari makan serta mendidik masyarakat.

Nasir Jani yang tidak pernah berhenti melawan Finas hingga ke penjara dan ke Tanjung Rambutan itu pada hakikatnya melawan mentaliti jahat kerajaan yang hanya tahu memenjarakan seni filem dalam kurungan sempit.

Hari ini - sewaktu hampir semua industri mula dihidupkan kembali - ekonomi dan industri seni filem masih didiamkan. Semasa prosedur operasi standard (SOP) bagi umat Islam menyambut hari raya sudah dikeluarkan, SOP bagi menjalani penggambaran masih tidak kedengaran.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia semacam tidak ada menteri. Ia masih segan-segan untuk bergerak sebab seni filem - menurut mereka - bukanlah industri penting yang harus mereka beri perhatian.

Para bijak pandai, sekelian YouTuber, pengkritik dan penulis perfileman boleh saja membakulsampahkan seribu lagi filem yang karyawan negara ini hasilkan.

Saya tentu saja bukan seorang Al-Akiti perfileman. Tapi percayalah apa-apa saja tentang filem itu tidak penting lagi untuk diperkatakan apabila masyarakatnya - yang dihasut kerajaan - jatuh percaya bahawa seni, sastera, budaya dan filem itu hanyalah suatu hiburan.

Malah untuk memahaminya saja adalah usaha yang sia-sia. Mengulas, menulis dan mengkritiknya adalah suatu kerja lagha yang membawa kepada dosa.

Padahal masyarakat sepatutnya disedarkan bahawa filem adalah sepenting Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis yang tekal memberi pengajaran. Sebagaimana Salina dan Pantai Harapan membawa api kesedaran. Sebagaimana Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dan Shit mengajar kita tentang makna kehidupan.


HARIS HAUZAH ialah pemuda yang selalu cuba mengorat Natalie Portman dalam mimpinya, tapi sehingga kini dia tak pernah mendapat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.