Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kebenaran penggambaran ketika PKP diputuskan selepas raya'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan kegiatan penggambaran diteruskan semula ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), selepas Hari Raya ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata kerajaan masih memerlukan masa untuk mempertimbang setiap aspek dalam kegiatan penggambaran, antaranya berkenaan penjarakan sosial ketika ketika penggambaran.

Beliau berkata ia merangkumi kegiatan penggambaran antaranya untuk filem, drama televisyen dan iklan.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mengemukakan kertas cadangan mengenai kemungkinan membenarkan aktiviti penggambaran pada Selasa lalu, katanya.

"Kita ambil kira setiap pandangan dan belum putuskan nak beri kebenaran (atau tidak) sebab banyak pertimbangan yang perlu dilihat.

"Berkenaan lakonan (penggambaran filem atau drama) mungkin berlaku kes tiada penjarakan sosial. Ini kerana ia bukan saja melibatkan pelakon tapi kru yang ramai.

"Sebab itu kami terpaksa tangguh dulu keputusan. Mungkin selepas Hari Raya kami akan pertimbangkan semula," katanya ketika sidang media di Putrajaya yang disiar secara langsung hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan KKMM akan memutuskan prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi oleh pemain industri kreatif untuk kegiatan penggambaran semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

KKMM berkata, cadangan SOP telah dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri.