Skip to main
Logo Malaysiakini

Imuda 'boh' saja peluang kerja asalkan rezeki halalan toyyiban

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Enggan mengehadkan punca rezeki kepada satu laluan saja, pelakon dan pelawak Imuda memilih cara alternatif bagi menampung kos sara hidup sepanjang musim Covid-19 dengan menjadi jurujual kenderaan baru.

Kata Imuda, dia terpaksa berbuat demikian disebabkan terperangkap di kampungnya di Sungai Gelugor, Pulau Pinang ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Dari dulu saya tidak sesekali mengehadkan apa yang perlu saya lakukan sebagai ikhtiar mencari rezeki, saya boh saja asalkan halalan toyibban (halal dan baik).

“Jadi kebetulan saya terperangkap di kampung dan mempunyai seorang rakan yang memiliki perniagaan kenderaan di sini, saya bertekad untuk jadikan bidang jualan sebagai salah satu karier alternatif saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, buat masa ini pembawa watak Budin dalam drama komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu berkata dia tidak bercadang kembali ke Kuala Lumpur sebaliknya ingin menetap di Pulau Pinang buat sementara waktu.

Justeru di sebalik kebenaran diberikan kerajaan mengikut PKP bersyarat, Imuda akan kekal di negeri kelahirannya itu bagi memantapkan kemahirannya menjual kenderaan.

Berkongsi lanjut kerjaya barunya itu, Imuda - atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda - berkata pada awalnya ia hanya dibuat secara suka-suka, namun dia tidak menyangka kemudian membuahkan hasil.

Jangan sia-sia peluang yang ada

“Alhamdulillah, tak sangka, daripada sekadar suka-suka, berjaya juga jual kira-kira tiga biji Alphard sepanjang musim PKP melalui saluran media sosial seperti Live FB saya,” katanya.

Justeru, Imuda, 60, menyeru rakan-rakan artis yang turut terjejas pendapatan agar tidak segan silu menggunakan setiap peluang yang ada bagi menjana pendapatan masing-masing.

Dia yang turut memiliki berkebolehan menyanyi, mengacara dan melukis percaya rakan artis mempunyai kelebihan tersendiri terutama dari sudut pemasaran dengan kelebihan pengaruh yang ada.

“Dalam menghadapi norma baru yang dijangkakan akan berlanjutan sekurang-kurang hingga setahun lagi, saya menyeru rakan artis sama ada pelakon, penyanyi mahupun pemuzik terus positif serta mengambil peluang melakukan kerja-kerja yang memberi pulangan.

“Misalnya, melalui perniagaan dalam talian, anda tidak perlu berdepan perasaan malu serta segan silu sama sekali.

"Jangan sia-siakan peluang yang ada kerana sememangnya selebriti mempunyai kelebihan tersendiri daripada sudut pemasaran. Anda ibarat gula yang mudah dihurungi semut, jadi gunakan sebaik-baiknya kelebihan itu,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Imuda yang baru saja muncul melalui filem Manap Karaoke arahan Mamat Khalid dan hadir dengan single terbaru bertajuk JEM! bersama Art Fazil dan Andy Flop Poppy mengaku dia sibuk menerima pelbagai tempahan bagi menyiapkan potret dan karikatur pelanggan.

Katanya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada kenalan serta peminat yang membuat tempahan secara dalam talian.

"Syukur alhamdullilah atas rezeki yang diterima. Macam saya katakan tadi, saya tidak mengehadkan punca rezeki selain sentiasa bersungguh-sungguh mencari ruang berkecimpung dalam bidang baru,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.