Skip to main
Logo Malaysiakini

Sesi penggambaran dengan SOP dibenarkan lepas Aidilfitri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran penggambaran tersebut akan bermula selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri dan perlu mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian (online), mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran,” katanya dalam siaran secara langsung melalui Facebook hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan beberapa persatuan penerbit mewakili industri kreatif merayu agar dibenarkan menyambung penggambaran kerana hilang punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan hampir dua bulan. 

Ismail Sabri pula selepas itu mengumumkan kebenaran untuk penggambaran hanya akan diputuskan selepas sambutan perayaan Aidilfitri nanti dan ia mendapat bantahan penerbit tempatan yang menggesa agar keputusan itu dipercepatkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah malam tadi mengumumkan berita baik itu ketika bercakap dalam Episod Siaran Langsung Facebook Duduk Rumah Harith Iskander bertajuk 'Masa Depan Siaran Langsung Hiburan’ Pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) pula menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan penggiat industri perfileman meneruskan aktiviti mereka selepas Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun rayuan mereka untuk menyambung kerja penggambaran sebelum perayaan itu tidak dipenuhi, keputusan tersebut sekurang-kurangnya melegakan karyawan dan kru penerbitan yang hilang mata pencarian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa dua bulan lepas, kata Presidennya Dr Ahmad Ibrahim.

Ismail Sabri turut memberikan beberapa SOP lain berkaitan penyelia keselamatan, perkhidmatan buffet dan jurusolek selain penggambaran secara langsung.

“Syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.

“Perkhidmatan buffet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu.

“Jurusolek dan penata rias juga perlu menggunakan pelindung muka dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek dan menatarias setiap artis.

“Penggambaran atau rakaman centre stage dan persembahan secara langsung (live performance) yang melibatkan tontotan ramai (live studio audience) adalah masih tidak dibenarkan,” katanya.