Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail Sabri: Pelakon, kru produksi tak wajib jalani ujian Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiada ujian saringan Covid-19 diwajibkan ke atas kru produksi untuk penggiat filem, drama, iklan atau lain-lain sebelum mereka memulakan operasi pada 10 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan Covid-19 hanya diwajibkan sekrinya terdapat kru produksi telah dikenal pasti dijangkiti wabak terbabit.

“Untuk pelakon dan kru syarikat produksi tidak diwajibkan buat ujian saringan Covid-19. Mereka diwajibkan berbuat demikian sekiranya timbul isu Covid-19 di kawasan tersebut.

“Kawasan penjara Sungai Buloh misalnya, kita tak arahkan buat ujian saringan Covid-19, tapi bila ada kes positif baru kita arahkan satu blok tu buat secara wajib,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggiat seni boleh berbuat demikian secara sukarela atas dasar-dasar keselamatan.

“Demi keselamatan kalau mereka sukarela nak buat kita alu-alukan,” katanya.

Semalam, Ismail mengumumkan, petugas dan penggiat seni tanah air dibenarkan kembali menjalankan semua aktiviti penggambaran filem, drama, iklan dan lain-lain yang ditangguhkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Beliau berkata, penggiat industri terbabit boleh melakukan aktiviti penggambaran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, mengulas mengenai SOP perlu dipatuhi pendandan rambut atau jurusolek artis, Ismail menjelaskan, mereka yang terbabit perlu menggunakan pelindung muka sewaktu menjalankan aktiviti tersebut.

“Ada SOP telah dibangunkan, iaitu mereka mesti memakai pelindung muka dan sarung tangan.

“Peralatan khusus juga perlu digunakan untuk setiap artis berbeza, bermaksud tidak ada pencampuran daripada segi alatan,” katanya.

Beliau juga menegaskan, setiap produksi perlu melantik seorang penyelia keselamatan yang bertujuan memastikan setiap kru mematuhi SOP ditetapkan sebelum menjalani penggambaran.

“Syarikat produksi juga perlu melantik penyelia keselamatan khusus untuk memantau daripada segi pematuhan SOP dalam kalangan pelakon, kru dan sebagainya,” katanya.