Faizal Tahir sedih ramai 'hanyut' dibuai Lathi Challenge
Penyanyi Faizal Tahir menyuarakan perasaan sedihnya selepas melihat segelintir umat Islam ramai terikut-ikut melakukan cabaran Lathi Challenge di media sosial.
Tanpa menamakan sesiapa secara spesifik, Faizal berkata, seseorang Muslim wajar memikirkan sesuatu perkara dengan semasak-masaknya sebelum bertindak meniru budaya luar.
“Guys, yang beragama Islam khususnya, kalau buat apa-apa tu fikirlah dulu sama ada kalau Nabi Muahmmad tau apa yang kita buat tu, baginda akan benarkan atau tidak.
“Sedih tengok,” ciap Faizal di Twitter miliknya.
Sambil berpesan pada diri sendiri, penyanyi Hanyut itu turut berkata, seseorang individu tidak wajar mensia-siakan akal diberikan Tuhan.
“Jangan membabi buta ikut semua benda yang orang lain buta hanya kerana ia sohor kini. Beginilah bagaimana Dajjal menipu kamu.
“Allah bagi akal, jangan sia-siakan. Pesanan untuk diri saya,” katanya.
Seolah-olah puja pontianak
Lathi Challenge dikatakan bermula selepas seorang remaja dari Indonesia, Jharna Bhagwani, tampil menyahut cabaran pengikutnya untuk membuat kandungan klip video menggunakan lagu Lathi pada 18 Mei lalu.
Jharna menghasilkan kandungan memaparkan transformasi solekan dari wajah cantik kemudian bertukar menjadi hantu, selain menari mengikut lagu berkenaan sambil mengenakan pakaian tradisional Jawa.
Lathi, sebuah lagu hit di Indonesia yang menggunakan judul dan bahasa Jawa yang bermaksud “dari lidah, batinku atau tutur kata” diterbitkan 27 Feb lalu.
Karya tersebut didendangkan pemuzik dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka sebagai Weird Genius secara kolaborasi bersama rapper dari Surabaya, Sara Fajira.
Meskipun video klip itu dikatakan seolah-olah memuja atau menyeru pontianak, lirik lagu terbabit sebenarnya berkisahkan seorang wanita yang terjebak dalam hubungan percintaan yang bertoksik.
Secara tersirat, Lathi juga dikatakan menyampaikan mesej bahawa harga diri seseorang dapat dilihat daripada cara dia berbicara.
Antara selebriti tempatan yang menyahut Lathi Challenge ialah Mawar Rashid. Bagaimanapun, aktres itu kemudian memadamkan video berkenaan selepas mengundang rasa kurang senang ramai pihak.
Selain Faizal, Da’i Wan Dazrin turut menyuarakan pandangan mengenai penghasilan video Lathi Challenge selain menggesa orang ramai untuk menghentikan cabaran berkenaan.
"Hentikan #LathiChallenge‘ sekarang juga.
“Sesungguhnya tarian-tarian yang kalian lakukan tu sangat berbahaya untuk dijadikan hiburan.
“Ketahuilah kalian tarian itu wujud dari sesetengah budaya Jawa yang syirik dan khurafat. Seperti memanggil kuntilanak (pontianak) serta roh kuda kepang. Tolong hentikan!” katanya di Instagram.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai