Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad Idham tak ada masalah pengerusi Finas orang politik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata beliau tidak ada masalah bekerjasama meneruskan agenda pembangunan filem negara walaupun agensi itu dipengerusikan bukan orang bidang seni berkaitan.

Menurutnya, fokus utamanya ketika ini adalah untuk bersama-sama menggembleng tenaga membantu industri perfileman bangkit semula selepas berdepan cabaran getir akibat wabak Covid-19.

“Saya tak ada masalah sekiranya pengerusi Finas bukan orang dalam industri.

“Bagi saya, tak kira siapa pun dipilih mengisi jawatan berkenaan, individu itu wajar berupaya memahami selok-belok pengurusan dan penyelenggaraan Finas dengan baik,” katanya kepada Malaysiakini.

Kerajaan Perikatan Nasional melantik bekas pemimpin PKR Bera di Pahang, Zakaria Abd Hamid sebagai pengerusi Finas pada 23 Mei lalu.

Zakaria yang dipecat daripada PKR menggantikan Hans Isaac pada 8 April tahun lalu.

Selepas menamatkan perkhidmatannya, Hans berjanji untuk 'memulangkan' gaji dan elaun yang diterimanya sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada penggiat seni perfileman di belakang tabir, khususnya mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tanggung jawab lebih mencabar

"Sejak mula menjadi pengerusi lagi saya pernah cakap tidak mahu apa-apa daripada Finas termasuk gaji dan elaun yang diberikan.

"Jadi, sekarang apabila sudah tidak berada dalam agensi itu, saya akan pulangkan semua kepada industri dengan membantu golongan pekerja belakang tabir seperti jurukamera, runner, jurusolek dan sesiapa saja yang terbabit," katanya.

Ahmad Idham juga asalnya menamatkan kontrak di Finas selepas dilantik sebelum ini, namun dibawa semula ke jawatan itu oleh kerajaan PN baru-baru ini.

Pengarah Jangan Pandang Belakang itu dilantik semula meneraju Finas untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 6 Jun lalu.

Kata Ahmad Idham, beliau percaya, Zakaria - yang juga seorang ahli perniagaan - tentu mempunyai kredibiliti tersendiri hingga dilantik oleh kerajaan memegang jawatan berkenaan.

Zakaria Abdul Hamid

“Dengan pengalaman yang ada, beliau kongsikan dan ambil maklumat daripada pakar-pakar yang bekerja di bawahnya. Beliau juga terbuka terima keputusan ahli lembaga.

“Walaupun tidak berkecimpung dalam industri perfileman, beliau membabitkan diri dengan semua presiden persatuan, selain setiap gerak kerja mahupun keputusan diambil dalam sesebuah perbincangan terus dihebahkan untuk industri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata, tanggungjawab CEO kali ini dianggap lebih mencabar disebabkan Covid-19.

Menurutnya, banyak dasar industri kreatif akan dinilai semula sebagai usaha memastikan ia relevan dengan perkembangan semasa.

“Kena semak semula perancangan terdahulu sama ada ia relevan atau tak, banyak perkara kena kaji balik sebab kita bergerak di atas norma baru.

“Finas kena mainkan peranan bersesuaian sebab antara cabaran kita adalah bagaimana nak gerakkan industri disebabkan kekangan Covid-19,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.