Skip to main
Logo Malaysiakini

Ne-Yo sebak nyanyikan lagu buat George Floyd

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Diselubungi emosi yang menebal, penyanyi Ne-Yo mengiringi acara penghormatan terakhir buat George Floyd - yang berlangsung di Houston, Texas semalam - dengan menyanyikan lagu It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday, nyanyian asal Boyz II Men.

Penyanyi R&B itu membawakan lagu perpisahan tersebut secara acapella di hadapan keluarga dan orang ramai yang turut berkongsi perasaan dukacita atas pemergian Floyd.

Ketika menyampaikan lagu berkenaan, Ne-Yo sempat terhenti sejenak sambil menundukkan kepalanya seperti menahan dirinya daripada menangis.

Dia kemudian ditenangkan oleh hadirin yang hadir. Mereka bertepuk tangan dan bersorak sebagai tanda memberikan semangat supaya penyanyi itu dapat mengawal emosinya.

Ne-Yo turut berkongsi perasaannya mengenai kematian Floyd yang disifatkannya sebagai sebuah pengorbanan.

“Orang ini boleh mengubah dunia di saat tercetusnya rusuhan. Saya ingin berterima kasih kepada Geoge Floyd kerana pengorbanannya akan membuat anak-anak saya terpelihara,” katanya seperti dipetik CNN.

Video dimuat naik Ne-Yo ditonton lebih 90,000 orang serta menerima pelbagai respons di ruangan komen.

Tak mudah melawan sebak

Floyd, lelaki bangsa campuran Afrika-Amerika mati sewaktu ditahan polis pada 25 Mei lalu. Dia tidak dapat bernafas selepas lehernya ditekan dengan lutut seorang anggota polis, Derek Chauvin, selama hampir sembilan minit.

Sebelum mati Floyd berkali-kali mengadu dia tidak boleh bernafas namun tidak diendahkan polis yang menahannya.

Kematian Floyd mencetus bantahan meluas di sejumlah besar bandar raya di AS dan menyemarakkan lagi kempen menuntut keadilan untuk warga kulit hitam di negara itu.

Antara penunjuk perasaan yang membantah keganasan polis ke atas warga kulit hitam AS

Majlis penghormatan terakhir dan pengebumian Floyd, 46, diadakan di Gereja Fountain of Praise, Houston, Texas. Mendiang dikebumikan di di sebelah ibunya di Pearland.

Upacara perhormatan terakhir Floyd turut dihadiri beberapa selebriti terkenal seperti Channing Tatum dan Jamie Foxx.

Sementara itu, Ne-Yo mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk meraikan upacara terakhir Floyd.

“Terima kasih kepada keluarga George Floyd kerana mengizinkan saya untuk sama meraikan kehidupannya dan memberi penghormatan terakhir buatnya.

“Bukan mudah buat saya untuk menyanyi dengan rasa sebak dalam dada. Maafkan sekiranya ada kekurangan dalam nyanyian ni. Kasih sayang dari keluarga dan komuniti untuk lelaki ni amat menggetarkan jiwa.

“Justeru, adalah satu penghormatan untuk memberikan mendiang penghormatan. Perubahan sedang berlaku, perlahan, tapi ia pasti. Kematian Floyd adalah pencetus,” katanya di Instagram.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.