Skip to main
Logo Malaysiakini

The Beatles enggan beraksi jika penonton kulit hitam diasingkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Salah seorang anggota The Beatles, Paul McCartney, berkata kumpulan itu pernah mengancam untuk tidak meneruskan persembahan mereka jika penganjur mengasingkan penonton mengikut warna kulit masing-masing.

Mendedahkan insiden yang berlaku di Jacksonville, Florida, pada 1964 itu McCartney berkata mereka dimaklumkan bahawa penonton kulit hitam akan diletakkan di kawasan berbeza berbanding kulit putih.

Justeru, kata McCartney, dia bersama John Lennon, George Harrison dan Ringo Star mengancam untuk membatalkan persembahan berkenaan kecuali cadangan pengasingan tersebut dibatalkan.

“Ia terasa salah. Kami berkata: kami tak akan berbuat demikian," katanya di media sosial hari ini.

Namun, kumpulan legenda yang popular dengan pelbagai lagu itu akhirnya meneruskan persembahan selepas penganjur membatalkan rancangan mereka mengasingkan penonton.

“Bagi kami, ia macam masuk akal,” katanya di media sosial mengimbau kejadian 56 tahun lalu.

Ia didedahkan ketika AS berdepan siri demonstrasi dan keganasan kerana rasa tidak puas hati rakyat negara itu terhadap Rumah Putih serta dasar diskriminasi ke atas orang bukan berkulit putih.

Salah seorang anggota The Beatles, John Lennon

Ketika sentimen itu sentiasa ada, ia kemudian meletus lebih serius apabila seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd, mati dilutut seorang anggota polis pada 25 Mei lalu.

McCartney pada masa sama berkongsi mesej mengenai kebersamaan untuk memerangi ketidakadilan sosial.

“Saya tahu ramai daripada kita ingin tahu apa boleh dilakukan untuk membantu.

“Sebenarnya tiada siapa daripada kita mempunyai jawapan selain tiada penyelesaian dalam masa terdekat, tapi kita perlukan perubahan.

“Kita semua perlu bekerjasama untuk menentang sentimen perkauman.

"Kita perlu belajar lagi, mendengar lagi, bercakap lagi, mendidik diri kita dan apa pun, ambil tindakan,” katanya.