Skip to main
Logo Malaysiakini

Norman KRU nafi ada masalah dengan Hans Isaac

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Norman Abdul Halim menafikan beliau mempunyai masalah peribadi dengan Hans Isaac, sebaliknya, hanya sudut pemikiran dan pelaksanaan yang berbeza.

Presiden Yayasan KRU itu juga berkata, beliau tidak mengesyaki individu yang disindir bekas pengerusi Finas itu dalam kenyataannya semalam adalah ditujukan kepada dirinya.

“Secara peribadi saya tidak ada sebarang masalah dengan Hans. Mungkin dari sudut cara pemikiran dan pelaksanaan kami berbeza tetapi saya percaya aspirasi dan matlamat kami untuk warga industri dan Finas tetap sama.

“Saya tidak rasa begitu (disindir Hans) tetapi saya rasa ada juga segelintir pihak lain yang mempunyai pandangan skeptikal di kala ramai yang menyokong lantikan kepimpinan baru di Finas.

“Dalam hal ini saya berharap kesemua penggiat seni yang mempunyai persepsi negatif untuk bersangka baik termasuk memberi kami peluang berkhidmat dan bersatu padu demi membangunkan industri dalam misi membuat struktur pembaharuan dari sudut ekonomi, institusi dan perundangan tanpa melupakan hal-hal kebajikan warga industri,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Hans mendedahkan beliau berusaha membela nasib penggiat seni sewaktu menjadi pengerusi Finas dengan merancang sesuatu perkara lebih awal, tetapi pengorbanannya itu didakwa masih tidak berupaya memuaskan hati sesetengah pihak.

Menurutnya, hal itu berkemungkinan disebabkan terdapat “virus politik” melanda industri seni hingga menyebabkan situasi sekarang menjadi cacamarba.

Hans, 48, yang juga penerbit dan pelakon itu baru membongkar perkara tersebut semalam selepas lama mengunci mulut disebabkan jawatan pengerusi Finas yang disandang sebelum ini.

Sebagai respons, malam tadi Norman mengajak Hans bertemu empat mata bagi menyelesaikan perbezaan pendapat selain berkata, sekarang bukanlah masanya untuk berselisih faham dalam kalangan pemain industri.

“Virus politik? Pimpinan sekarang tak ada integriti? Kami bekerja keras sejak hari raya pertama, bro. Masih banyak lagi perlu dibuat untuk memastikan industri kembali aktif selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kami mengadakan pertemuan hebat dengan 10 persatuan industri kreatif (mewakili ribuan profesional). Kami membincangkan bagaimana membina semula ekonomi dan bincang mengenai hal kebajikan warga industri.

“Ini bukan masa untuk bertengkar dalam kalangan pemain industri, mari kita bekerjasama untuk membentuk masa depan yang lebih baik. Hans, kamu ada nombor saya bro. Mari minum kopi!” katanya di media sosial.

 

Mengulas lanjut, Norman berkata, susulan hantaran dimuat naik tersebut, Hans ada menghubunginya melalui teks pesanan ringkas WhatsApp untuk mengupas isu berbangkit.

“Saya terima WhatsApp dari beliau awal pagi tadi. Jika tiada perubahan jadual, kami akan berjumpa pada hujung bulan ini,” katanya.

Ditanya sama ada beliau terbuka untuk menjemput Hans bagi menjalin kerjasama demi memajukan industri seni selepas ini, Norman menjawab pihaknya sememangnya mengamalkan dasar pintu terbuka.

“Kami mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak. Warga industri tidak semestinya perlu berada dalam organisasi Finas itu sendiri untuk membantu visi dan misi kami.

“Begitu juga dengan Hans, beliau boleh memberi input dan membuat pelbagai inisiatif sendiri sebagai penerbit dan pelakon kerana kami melihat memang banyak perkara yang harus dilakukan.

“Ia bukan saja bagi menangani isu semasa seperti menjana kembali ekonomi pasca PKP tapi juga menjayakan amanat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah untuk membina struktur dan landasan jangka panjang melangkaui tempoh lantikan barisan kepimpinan Finas sedia ada sekarang,” katanya.