Skip to main
Logo Malaysiakini

Oscar 2021 ditunda 2 bulan gara-gara Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Acara penganugerahan bagi mengiktiraf kreativiti penggiat seni melalui Academy Awards atau Oscar yang sepatutnya dijadual pada 28 Februari 2021 ditunda dua bulan gara-gara Covid-19.

Akademi Sains dan Seni Perfileman mengumumkan, tarikh baru Oscar 2021 yang bakal diadakan ialah pada 25 April depan.

Wabak Covid-19 mengakibatkan pawagam di seluruh dunia ditutup pada pertengahan Mac dan pada masa sama menyebabkan penghasilan filem juga terpaksa dihentikan.

Menurut Presiden David Rubin dan Ketua Eksekutif Dawn Hudson, the Academy turut memanjangkan tarikh akhir filem mesti ditayangkan agar layak mendapat pencalonan Oscar hingga 28 Februari 2021, mulai 31 Disember tahun ini.

“Harapan kami, dengan memanjangkan masa kelayakan dan tarikh acara adalah untuk memberikan fleksibiliti kepada pembuat filem untuk menyiapkan dan menerbitkan naskhah mereka tanpa dikenakan denda untuk sesuatu yang di luar kawalan sesiapa pun," kata mereka dipetik Reuters.

Penutupan produksi bermaksud bahawa banyak pembikin filem bimbang filem mereka tidak akan siap sebelum tarikh akhir kelayakan Oscar. Puluhan penerbitan filem ditunda ke 2021.

Ini adalah kali keempat dalam sejarah apabila Oscar ke-93 terpaksa menangguhkan acara berprestij berkenaan disebabkan sesuatu peristiwa.

Kali pertama tarikh Oscar diubah adalah pada 1938, gara-gara banjir di Los Angles, pada 1968 disebabkan pembunuhan pemimpin gerakan hak asasi manusia, Dr Martin Luther King Jr dan pada 1981 selepas percubaan membunuh Presiden AS ketika itu, Ronald Reagan.

Penundaan Oscar dijangkakan turut mengubah tarikh berlangsungnya majlis seperti Golden Globes dan beberapa acara anugerah lain.